Football

Kedah 2-0 PDRM: Skuad ‘Polis’ disambar Helang Merah

Perlawanan Kedah menentang PDRM menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe naik ke tangga kelima liga menggantikan The Cops apabila menewaskan pasukan kendalian Fauzi Pilus itu 2-0 di Stadium Darul Aman.

Kali terakhir pasukan Helang Merah bertemu PDRM dalam saingan Liga Super adalah pada tahun 2009, di mana ketika itu mereka berjaya membelasah PDRM 7-2 di Stadium Darul Aman.

Kedah yang berada di tangga ketujuh menurunkan Farhan Abu Bakar, Mohd Rizal, Bang Seunghwan, Khairul Helmi Johari, Azmeer Yusof, Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi,Mohd Amirul,Farhan Roslan dan Carlos Kahe.

PDRM di tangga kelima Liga Super pula dibarisi Wilfred Anak Jabun, K. Reuben, Mohamad Faizal Mohamad, Konate Souleymane, Ahmad Nizam Rodzi, Mohd Lot Abu Hassan, Abdul Latif Suhaimi,Safuwan Baharudin,Mohd Fekry Tajudin, Andre Fransisco Williams dan Ali Ashfaq.

Kedah bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit kedua melalui satu gerakan menarik Carlos Kahe yang menewaskan barisan pertahanan dan merembat masuk gol pembukaan menewaskan penjaga gol The Cops, Wilfred Jabun.

PDRM cuba mencari gol penyamaan dan hampir berjaya apabila penyerang sensasi mereka, Ali Ashfaq hampir menjaringkan gol selepas berlaku kesilapan di benteng pertahanan Kedah, namun diselamatkan oleh ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi pada minit keenam.

Kedah dan Carlos Kahe menambah jaringan buat pasukan tuan rumah pada minit ke-21 apabila satu hantaran cantik dari Baddrol Bakhtiar menemui larian Farhan Roslan yang melorongkan bola ke Carlos Kahe untuk ditolak masuk menewaskan Wilfred Jabun sekali lagi.

Safuwan Baharudin hampir merapatkan jurang buat the Cops, tetapi rembatannya dari luar kotak penalti terkena palang walaupun sudah menewaskan Farhan Abu Bakar di gawang Kedah.

Separuh masa pertama berakhir dengan Kedah mendahului 2-0 mengatasi PDRM.

Separuh masa kedua dimulakan dengan anak buah Fauzi Pilus cuba untuk bangkit selepas dua kali gawang mereka dibolosi.

Liridon Krasniqi hampir menambah jaringan buat Kedah apabila berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan Kedah, tetapi Wilfred Jabun pantas keluar bagi menyelamatkan keadaan.

Ahmad Nizam cuba menewaskan Farhan Abu Bakar melalui satu rembatan jarak jauh pada minit ke-58 tetapi tersasar.

Kedah gagal menambah jaringan apabila Fakri Saarani dan Rizal Ghazali gagal menyudahkan peluang walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol PDRM pada minit ke-63 .

Wilfred Jabun sekali lagi menjadi penyelamat The Cops apabila menafikan cubaan Carlos Kahe pada minit ke-65 menerusi satu hantaran lintang oleh Syafiq Ahmad yang dimasukkan bagi menggantikan Fakri Saarani.

Ali Ashfaq memiliki peluang terbaik bagi PDRM merapatkan kedudukan selepas menerima hantaran dari Ahmad Nizam, tetapi Farhan berjaya menyelamatkan keadaan.

PDRM terus cuba mencari peluang untuk menjaringkan gol tetapi benteng pertahanan Kedah terus kukuh untuk memberikan kemenangan ketiga Kedah dalam saingan Liga Super Malaysia.

PDRM dan Kedah akan bertemu sekali lagi di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu ini bagi pusingan Ke-12 Liga Super Malaysia.

Other posts by