Football

Pemain muda Korea Utara buat penampilan untuk kelab Serie A

Di sebalik masalah yang sedang berlaku di antara Malaysia dan Korea Utara, mungkin ada sesetengah perkara yang boleh kita ambil contoh dari mereka.

Antaranya adalah apabila melihat bagaimana pemain Korea Utara yang beraksi bersama kelab-kelab luar negara di liga-liga yang mencabar.

Dulu Jong Tae-Se yang mendapat jolokan Ronaldo Korea Utara pernah beraksi untuk VFL Bochum dan Koln di liga Jerman. Kini, Korea Utara mempunyai seorang lagi sensasi baru yang beraksi di satu liga ternama dunia.

Pemain Korea Utara di Serie A

Pemain muda Korea Utara, Han Kwang-Song menjadi sensasi terbaru apabila membuat penampilan untuk kelab Serie A, Cagliari dalam kemenangan 3-1 mereka ke atas Palermo.

Apa istimewanya Kwang-Song?

Beraksi selama empat minit dalam perlawanan tersebut, pemain berusia 18 tahun itu menjadi pemain Korea Utara pertama yang beraksi di liga tertinggi Itali.

Kwang-Song menyertai Cagliari pada bulan Februari selepas menunjukkan aksi cemerlang di Piala Dunia Bawah 17 tahun, walaupun Korea Utara tersingkir di peringkat kumpulan.

Sebelum berpindah ke Eropah, Kwang-Song beraksi untuk FC Chobyong di liga domestik.

Tidak dipanggil ke skuad senior

Selain dari Kwang-Song turut berpindah ke Serie A selepas menunjukkan aksi cemerlang di kejohanan berkenaan adalah Choe Song-Hyok. Song-Hyok menyertai Fiorentina selepas kejohanan tersebut tetapi tidak membuat sebarang penampilan untuk skuad senior dan akhirnya dilepaskan.

Kwang-Song dan Song-Hyok masih belum membuat sebarang penampilan untuk skuad senior Korea Utara, dengan keutamaan diberikan kepada pemain yang beraksi di liga domestik.

Hanya Ri Yong-Jik yang bermain di Jepun, dan Pak Kwang-Ryong yang beraksi di Switzerland bersama Lausanne berada dalam skuad utama Korea Utara.

Mungkinkah kita akan melihat kelibat pemain muda Cagliari ini dalam perlawanan menentang Malaysia nanti? Jika ya, nampaknya masalah kita bukan sekadar mengenai hubungan tegang di antara dua negara, tetapi juga bagaimana mengekang pemain muda Cagliari ini nanti.

 

Other posts by