Football

VIDEO: “Saya menangis setiap hari” – Raja Rom akhirnya bersara

Seorang lelaki jarang menangis.

Biasanya lelaki hanya akan menangis apabila sesuatu benar-benar menyentuh perasaannya. Dan ini adalah antara perkara yang mampu membuat seorang lelaki gagah menitiskan air mata.

Francesco Totti. Seorang pemain bolasepak yang hebat. Bukan,seorang legenda. Pemain yang digelar Raja Rom.

Dalam dunia bolasepak di mana pemain berpindah randah sama ada demi wang atau mengejar kejuaraan, Francesco Totti terus setia bersama kelab tempat kelahirannya.

Bukan sekali dua kita mendengar mengenai ura-ura Francesco Totti akan berpindah atau ada kelab-kelab gergasi yang mahu mendapatkan Totti sepanjang kerjayanya, tetapi semuanya tidak berhasil. Totti adalah Roma dan Roma adalah Totti.

Selepas 25 tahun menyarung jersi AS Roma, Totti akhirnya benar-benar bersara.

Francesco Totti mengucapkan selamat tinggal kepada Roma selepas 786 perlawanan bersama kelab Itali itu dan mengakhiri kerjayanya dengan membantu Roma menang 3-2 ke atas Genoa yang turut melayakkan Giallorossi ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

https://www.youtube.com/watch?v=VHkeF-sOJ-M

Pada mulanya penyokong Roma merasa kecewa kerana pemain kesayangan mereka itu sekadar berada di bangku simpanan. Tetapi kekecewaan itu bertukar kegembiraan apabila Totti masuk pada minit ke-54 untuk menggantikan Mohamed Salah.

Di hadapan 60,000 penyokong di Stadio Olimpico, Totti mengucapkan kata-kata terakhirnya untuk penyokong Roma sebelum bersara.

“Malangnya masanya telah tiba. Saya menangis setiap hari.

“Ianya satu keputusan yang saya sudah buat bersama isteri dan keluarga saya. Saya akan kekal di sini untuk 25 tahun lagi. Terima kasih Roma.

“Maafkan saya jika sejak kebelakangan ini saya tidak bercakap banyak atau meluahan fikiran saya. Saya menanggalkan baju saya buat kali terakhir dan melipatnya dengan elok buat kali terakhir. Masanya sudah tiba dan saya takut. Benarkan saya merasa takut sedikit. Sekarang saya perlukan bantuan anda semua.”

Sambil Totti membuat ucapan terakhinya, penyokong Roma mengangkat jersi gergasi bernombor 10 yang cukup serasi dengan Totti di tengah padang. Semua pemain Roma juga menyarung jersi bernombor 10 tanda penghormatan kepada ketua pasukan mereka itu.

Totti mengakhiri ucapannya dengan berkata “Saya sayangkan kamu semua” kepada semua penyokong Roma.

Apa yang menarik, penghormatan bukan sahaja diberikan oleh penyokong dan pemain Roma, tetapi pemain Genoa turut memberikan penghormatan mereka kepada seorang legenda.

Di belakang jersi pemain Genoa, tertulis “25 musim dengan hanya satu jersi, 785 penampilan, 307 gol, juara dunia 2006. Francesco Totti adalah sebahagian daripada sejarah bolasepak.”

Ucapan selamat bersara kepada Totti diucapkan oleh ramai pihak dari seluruh dunia termasuk kelab-kelab ternama dan pemain-pemain bertaraf dunia. Bahkan satu kain rentang mengucapkan selamat bersara telah dipasang oleh peminat pasukan Roma di Indonesia.

https://twitter.com/UNILADFooty/status/868966364622475265

Melihat kepada rekod dan kehebatan figura bernama Francesco Totti ini, dia sememangnya akan dirindui oleh semua peminat bolasepak di seluruh dunia. Selamat bersara Francesco Totti.

Other posts by