Football

Satira MSL: Carlos Kahe gagal pikat Dunga

Penyerang sensasi Kedah, Carlos Kahe kempunan beraksi bersama skuad antarabangsa Brazil pada kejohanan Copa America yang akan berlangsung di Amerika Syarikat bulan depan.

Ketua jurulatih Brazil, Dunga menyatakan bahawa tidak adil untuk pasukan lain jika Carlos Kahe disenaraikan dalam skuad Selecao bagi menghadapi Copa America yang akan bermula 3 Jun nanti.

“Carlos seorang penyerang berbisa. Aksi beliau bersama Kedah memang menarik perhatian saya, terutamanya selepas beliau menjaringkan dua gol menentang PDRM. Tetapi bagi menjadikan saingan Copa America lebih sengit, kami terpaksa meninggalkan beliau.

“Tidak adil bagi pasukan lain jika Kahe beraksi. Dengan adanya beliau, kami seakan tidak perlu bermain untuk menang Copa America,” jelas beliau.

Legenda Brazil, Ronaldinho ternyata kecewa dengan keputusan Dunga itu. Ketika ditanya berkenaan ketiadaan Kahe dalam skuad Selecao dalam satu sidang media, beliau berkata; “ Ketiadaan Kahe dalam skuad Selecao merupakan satu kesilapan besar. Beliau sepatutnya berada dalam pasukan. Kahe mengingatkan saya kepada Ronaldo yang beraksi dalam Piala Dunia 2002”.

Selain daripada Carlos Kahe, turut tidak tersenarai dalam skuad Selecao bagi saingan Copa America 2016 adalah penyerang Kuala Lumpur, Anselmo Cassagrande dan penyerang Sarawak, Gilmar.

NOTA: Artikel ini hanya gurauan semata-mata. Harap maaf!

 

Other posts by