Sebelum ini, kecoh di laman sosial apabila berita kononnya atlet olahraga remaja negara lebih berminat untuk beraksi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan mengabaikan Kejohanan Dunia.
Namun, semua itu telah terjawab apabila empat atlet olahraga negara, diketuai juara 100 meter remaja Asia, Khairul Hafiz Jantan, mengambil risiko besar dengan membuat keputusan untuk menyertai kedua-dua Kejohanan Remaja Dunia di Poland dan selepas itu beraksi di Sukma Sarawak, bulan depan.
Perkembangan terbaru ini diumumkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam mesyuarat khas di Bukit Jalil, semalam.
“Ini semua telah dijelaskan sebaik mungkin kepada jurulatih dan atlet. Mereka sendiri telah bersetuju dengan sokongan yang akan kami berikan.
‘’Mereka sedia maklum risiko-risiko yang bakal dihadapi. Kami hargai pengorbanan dan kesediaan mereka untuk menyertai kejohanan remaja tersebut,” jelas beliau.
Saingan di Poland akan tamat pada 24 Julai, iaitu dua hari sebelum acara olahraga Sukma Sarawak bermula.
Khairul dan Badrul Hisyam Abd Manap (100m) dijadual pulang ke Malaysia pada 21 Julai selain daripada Mohd Rizzua Haizad Muhamad yang menyertai acara 110m berpagar.
R.Kirthana yang menyertai acara lompat kijang akan pulang paling lewat, pada 23 Julai, tiga hari sebelum acara olahraga Sukma Sarawak bermula.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim pula berkata: “ Kami tidak kata kami akan mencuba sahaja. Tapi ini adalah langkah untuk membawa mereka ke tahap kejohanan yang lebih tinggi dan melihat sama ada mereka boleh berjaya (dalam suatu kejohanan) dalam tempoh yang singkat.
“Atlet seperti Usain Bolt juga sering menjelajah ke serata dunia.”
Atlet dan jurulatih negara dijadualkan akan berangkat ke Poland lebih awal, iaitu pada 5 atau 6 Julai, untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana.
Other posts by Khairul Nizam