Athletics

Atlet Para UAE meninggal dunia ketika menjalani latihan

Berita sedih buat sukan Paralimpik.

Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) hari ini mengumumkan kematian atlet Emiriah Arab Bersatu (UAE) Abdullah Hayayei selepas berlaku kejadian di padang latihan.

Atlet berusia 36 tahun itu sedang berlatih di Newham Leisure Centre di London Timur bagi mempersiapkan diri untuk Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia yang akan bermula Jumaat ini.

Jurucakap polis Metropolitan berkata: “Di peringkat awal ini, kami percaya bahawa dia terlibat dengan kemalangan melibatkan sebatang besi yang merupakan sebahagian daripada peralatan latihan di pusat tersebut.”

Pihak IPC menyatakan bahawa insiden tersebut berlaku sekitar jam 5 petang waktu tempatan pada hari Selasa.

“Pihak polis, perkhidmatan ambulan London dan Ambulan Udara London telah datang ke tempat kejadian,” kata IPC.

“Pada 17:20, atlet berkenaan diumumkan meninggal di tempat kejadian.”

Hayayei membuat penampilan pertamanya di Sukan Paralimpik Rio tahun lalu, di mana dia menamatkan kedudukan di tempat keenam bagi acara lontar lembing F34 dan tempat ketujuh bagi acara lontar peluru F34.

Arwah menduduki tempat kelima dalam acara lontar cakera F34 di Kejohanan Para Dunia di Doha pada 2015.

Penganjur akan mengadakan upacara berkabung sebagai penghormatan kepada Hayayei ketika majlis perasmian temasya berkenaan pada hari Jumaat ini di Stadium London.

Other posts by