Football

Tony Fernandes beri bayangan akan bertanding jawatan tertinggi FAM

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Group Tan Sri Tony Fernandes mungkin telah menyatakan secara terbuka keinginannya untuk menjawat jawatan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mengakui dia sangat komited dengan bolasepak Malaysia.

“Tanpa ragu-ragu, saya akan terlibat dengan bolasepak. Saya telah melihat bolasepak Malaysia sejak berumur lima tahun di Pestabola Merdeka. Dan jika saya boleh membantu, pasti saya akan bantu.

“Ianya terpulang kepada persatuan berkenaan (FAM) mengenai bagaimana mereka mahu saya tolong,” katanya kepada wartawan dalam majlis penghargaan oleh Air Asia kepada semua pemenang pingat kontinjen Asean di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro di Brazil, bulan lalu,

Tony berkata dia merupakan peminat bolasepak tegar dan akan menggunakan pengalamannya bersama kelab Liga Perdana Inggeris Queens Park Rangers untuk membangunkan bolasepak Malaysia.

“Saya cintakan bolasepak…ianya sudah lama dan mari kita lihat jika mereka mahukan saya dan lihat jika saya boleh membantu..Ianya tidak semestinya (dengan menjadi) Presiden FAM.

“Ada banyak jawatan lain, tetapi jika saya diminta membantu bolasepak Malaysia, saya akan bantu,” tambah beliau.

Jawatan tertinggi FAM akan dikosongkan oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas beliau tidak akan mempertahan jawatan berkenaan di pemilihan FAM yang dijangka berlangsung pertengahan tahun depan.

Sebelum itu, AirAsia memberikan penerbangan percuma kepada semua pemenang pingat dari Asean di Sukan Paralimpik dalam sebuah majlis yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia, semalam.

“Sekali lagi atlet dari ASEAN membuatkan rantau ini berbangga dengan membuktikan kita mampu memberi cabaran di peringkat dunia,” kata Tony.

Tiga pemenang pingat emas negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara T36 100 meter, Muhammad Ziyad Zolkefli, F20 lontar peluru dan Abdul Latif Romly, T20 lompat jauh adalah antara pemenang pingat emas rantau ASEAN dan menerima penerbangan percuma seumur hidup.

Pemenang pingat gangsa negara, Siti Noor Radiah bagi acara T20 lompat jauh wanita menerima penerbangan percuma selama tiga tahun.

Kesemua 12 pemenang pingat emas, tujuh pingat perak dan 12 pingat gangsa dari Asia Tenggara menerima penerbangan percuma dari AirAsia.

Selain daripada Malaysia, atlet Paralimpik dari Thailand, Singapura dan Vietnam turut menerima ganjaran berkenaan.

Other posts by