Football

Pemain buktikan kita boleh menang – OKS

Ketua jurulatih sementara pasukan kebangsaan Malaysia, Datuk Ong Kim Swee memuji  persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya ketika menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Dili semalam.

Kemenangan itu merupakan kemenangan Malaysia yang pertama dalam saingan kompetitif setelah sekian lama tidak memperoleh sebarang kemenangan di pentas antarabangsa.

Ong menganggap pasukan bimbingannya telah pun membuktikan bahawa mereka mampu beraksi dengan lebih baik berbanding dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Ini kali pertama kita gagal dibolosi setelah sekian lama. Saya percaya Bahagian pertahanan dan kesemua pemain sudah membuktikan mereka boleh bertahan dan berjaya mendapatkan tiga mata yang berharga.

“Sekalipun kita jaringkan satu gol, kita tetap akan mendapat tiga mata. Kalau kita dapat tiga gol tapi dibolosi empat gol, kita tentunya akan kalah sebab itu yang mustahaknya di sini ialah kemenangan.

“Penting di sini untuk kita mendapatkan kemenangan pertama dalam kelayakan ini kerana seperti yang kita tahu kita perlu menang untuk meneruskan peluang untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga,” katanya semasa sidang media di Dili semalam.

Perlawanan semalam menyaksikan gol tunggal dijaringkan oleh penyerang berpengalaman, Amri Yahyah yang menendang masuk gol hasil hantaran Nazirul Naim dalam kotak penalti seawal minit kesembilan perlawanan.

Malaysia mempunyai beberapa peluang untuk menambahkan lagi jaringan namun gagal akibat penyudah yang tumpul di hadapan pintu gol. Timor Leste pula mengasak secara habis-habisan untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi seringkali di halang oleh pertahanan pasukan negara yang turut dibantu dengan aksi mantap penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan kelayakan Piala Dunia yang seterusnya akan membabitkan pertemuan antara Malaysia dengan Palestin pada 12 November depan.

Other posts by