Football

Pemain Kelantan korbankan cuti raya demi Piala Malaysia

Walaupun rakyat Kelantan menyambut Hari Raya Haji secara besar-besaran, namun pemain pasukan Kelantan tetap fokus dengan persiapan Piala Malaysia menentang T-Team di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Penduduk Malaysia bercuti pada hari Khamis sempena Hari Raya Haji dan para pemain bola sepak juga dibenarkan bercuti menyebabkan pasukan hanya mempunyai sehari iaitu hari Jumaat untuk menjalani latihan sebelum hari perlawanan pada hari Sabtu.

Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata mereka perlu menjalani dua sesi latihan supaya para pemain benar-benar bersedia sebelum menghadapi perlawanan pada Sabtu ini.

“Pemain menjalani latihan dua kali sehari sejak Ahad lalu kerana kami kesuntukan masa memandangkan perlawanan menentang T-Team jatuh pada hari Sabtu.

“Tapi saya tidak mahu merungut kerana semua pasukan juga mengalami situasi yang sama seperti Kelantan dan saya fikir ini bukan satu masalah biarpun kami hanya mempunyai masa yang singkat untuk membuat persiapan.

“Kami tidak akan memandang rendah T-Team, walaupun pasukan tersebut sudah kalah dua kali berturut-turut tetapi tidak mustahil mereka boleh bangkit lebih-lebih lagi apabila beraksi di tempat sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan C setakat ini, Kelantan berkongsi empat mata bersama Felda United dengan memperoleh satu kemenangan dan satu seri, diikuti pasukan Selangor yang mengumpul tiga mata.

PANDANGAN KAMI?

Jadual perlawanan bola sepak Malaysia termasuk Piala Malaysia biasanya memang tidak menyebelahi pasukan tempatan malah 7 perlawanan dalam masa 21 hari adalah perkara yang biasa dalam bola sepak tempatan. Jika mana-mana pasukan mahu menunda perlawanan kerana jadual yang padat, kemungkinan besar perlawanan itu takkan ditunda dan semua pasukan mesti mengharunginya tanpa sebarang rungutan. Hari perlawanan hanya dua hari selepas cuti umum dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Jadual juga merupakan elemen yang penting dalam bola sepak tetapi FAM sangat kurang sensitif terhadap jadual dan ini telah menimbulkan rasa kurang senang daripada para penyokong, jurulatih serta pemain yang terlibat. Tidak keterlaluan untuk mengatakan yang FAM gagal menyediakan jadual bola sepak yang profesional.

Other posts by