Football

Tan Cheng Hoe bakal jadi penolong Mario Gomez?

Seorang jurulatih yang pernah membawa JDT menjuarai Liga Super dan seorang lagi jurulatih yang kini membawa pasukannya berada di kedudukan teratas Liga Super Malaysia 2017 buat masa ini.

Pastinya ini kombinasi paling menarik untuk memacu pasukan kebangsaan kembali memberikan saingan di peringkat kebangsaan. Melihat prestasi buruk Harimau Malaysia semenjak dua menjak ini, mungkin dua individu ini akan menjadi watak penting dalam bolasepak Malaysia.

Tan Cheng Hoe bantu Gomez?

Seperti sedia maklum, antara tindakan pertama presiden baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) , Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim adalah melantik bekas jurulatih Johor Darul Ta’azim (JDT), Mario Gomez selaku jurulatih baru pasukan kebangsaan.

Ura-ura mengatakan bahawa ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe akan membantu Mario Gomez sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan.

Tan Cheng Hoe sebelum ini pernah menjadi penolong jurulatih pasukan Malaysia apabila menjadi pembantu kepada Datuk K. Rajagobal ketika Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Bekas pemain Kedah itu juga berjaya mencipta nama apabila membawa Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selama dua tahun berturut dan memenanginya pada tahun lalu.

Tan Cheng Hoe di Johor?

Gempar di laman sosial apabila dikatakan Tan Cheng Hoe kini berada di Johor untuk bertemu TMJ dan berbincang.

Setakat ini, masih belum ada khabar sahih mengenai kehadiran Tan Cheng Hoe di Johor adalah untuk bertemu presiden baru FAM atau sekadar urusan peribadi.

Sebelum ini Tan Cheng Hoe pernah menyatakan bahawa dia mempunyai impian untuk melatih skuad kebangsaan suatu hari nanti.

Pastinya berita mengenai Tan Cheng Hoe bakal menjadi pembantu jurulatih kepada Mario Gomez akan sedikit mengganggu pihak pengurusan dan penyokong pasukan Kedah, apatah lagi dengan pasukan Kedah sedang berada di puncak liga.

Kesimpulan

Gandingan Mario Gomez dan Tan Cheng Hoe pastinya boleh membantu skuad kebangsaan. Melihat kepada corak permainan JDT di bawah Mario Gomez dan Kedah di bawah Tan Cheng Hoe, penyokong Malaysia boleh mengimpikan permainan menarik yang akan ditunjukkan oleh pasukan kebangsaan.

Dengan kebanyakan pemain kebangsaan bermain bersama JDT dan Kedah, tiada masalah untuk pemain mengikut taktikal yang akan diterapkan nanti.

Namun, buat Kedah pastinya ianya tidak berapa adil kerana pemergian Tan Cheng Hoe akan mengganggu perancangan dan prestasi pasukan tersebut di liga nanti. Namun, setakat ini masih belum ada khabar sah mengenai perkara ini dan peminat Kedah boleh bertenang.

Other posts by