MMA

Malaysia bakal mempunyai juara MMA dunia pertama?

Adakah kita bakal melihat rakyat Malaysia pertama yang akan berjaya merangkul tali pinggang kejuaraan MMA?

Selepas sekian lama kita melihat penggusti dari negara lain bergelar juara, mungkin tidak lama lagi kita boleh berbangga melihat seorang anak Malaysua akhirnya memenangi tali pinggang kejuaraan MMA.

Ev Ting dalam acara utama

Setelah sekian lama, akhirnya Ev ‘E.T’ Ting akhirnya mendapat peluang untuk merebut tali pinggang kejuaraan kategori Lightweight di acara ONE FC menentang penggusti Filipina, Eduard Folayang.

Ev sebelum ini telah mencabar Folayang selepas menang dalam perlawanan menentang Kamal Shalorus di One FC Kuala Lumpur.

Kini, telah disahkan bahawa Ev akan mendapat peluangnya menentang Folayang, seorang penggusti MMA veteran, di One Championshi: Kings of Destiny di Manila, Filipina pada 21 April.

Folayang punya rekod cemerlang

Eduard Folayang, seorang penggusti berpengalaman memegang rekod 17-5 dalam perlawanan MMA profesional sepanjang kariernya.

Penggusti berusia 33 tahun itu menunjukkan kebangkitan pada tahun 2016, apabila berjaya memenangi tiga perlawanan berturut-turut menentang penggusti bertaraf tinggi serta menunjukkan teknik pertarungan yang semakin baik.

Dalam perlawanan terakhirnya, Folayang mengejutkan peminat MMA apabila berjaya merampas tali pinggang Kejuaraan Dunia ONE Lightweight menewaskan legenda MMA Jepun,Shinya Aoki.

Ev Ting mahu bawa pulang kejuaraan

Bagi Ev Ting pula, dia merupakan antara penggusti muda yang meningkat naik dan memegang rekod 13-3 sepanjang kerjaya profesionalnya sebagai penggusti MMA.

Tinggal dan berlatih di Auckland, New Zealand, Ev menewaskan Kamal Sholarus dalam perlawanan terakhirnya menerusi keputusan pengadil untuk mendapat peluang bertarung menentang Folayang.

Memetik kenyataan Ev Ting dari Astro Awani, dia berkata: “Saya telah berkerja keras untuk berada kedudukan saya sekarang. Ia akhirnya membuahkan hasil kerana saya mendapat peluang untuk merebut kejuaraan dunia.

”Ianya adalah impian untuk semua penggiat MMA untuk menjadi seorang juara. Ini adalah peluang untuk saya menyempurnakan impian tersebut.

“Eduard Folayang seorang juara yang hebat dan disayangi oleh semua rakyat Filipina, tetapi dia mempunyai sesuatu yang saya mahukan. Saya akan ke Manila untuk merampas itu darinya dan bawa pulang tali pinggang tersebut ke Malaysia.”

Tugas berat Ev Ting

Tugas berat pastinya bakal dihadapi oleh Ev Ting kerana akan berdepan seorang penggusti yang hebat dan berpengalaman serta akan bertarung di depan penyokongnya sendiri.

Ev perlu mengeluarkan semua teknik dan tenang berdepan penyokong Filipina di Arena SM Mall nanti.

Doa rakyat Malaysia akan mengiringi Ev Ting dan pastinya rakyat Malaysia berharap akan dapat menyaksikan juara MMA pertama dari Malaysia.