Football

Tarikh baru sepak mula Liga Indonesia telah ditetapkan

Peminat bolasepak Indonesia pastinya sudah lama ternanti-nanti aksi pasukan mereka dalam kancah liga Indonesia.

Selepas sekian lama berlaku pelbagai isu dan kontroversi sehingga bolasepak Indonesia digantung oleh FIFA, pastinya penyokong mahukan liga yang teratur dan dapat dinikmati oleh semua.

Setelah sekian lama, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia telah membentuk semula liga Indonesia iaitu Liga 1 dan Liga 2. Namun, perkembangan terbaru menyaksikan liga tersebut bakal ditunda dari tarikh asalnya.

PSSI tunda Liga 1

Liga 1 yang sebelum ini dirancang untuk bermula pada 26 Mac 2017, telah ditunda oleh pihak PSSI.

Liga divisyen tertinggi Indonesia itu dikhabarkan akan bermula pada 15 April 2017. Namun, PSSI masih belum memberi pengesahan berkenaan tarikh tersebut kerana belum bertemu dengan semua kelab yang akan beraksi di Liga 1.

PSSI tunggu bertemu semua pasukan

Menurut laporan Bola.com, Pengarah Media dan Hubungan Antarabangsa PSSI, Hanif Thamrin mengakui bahawa PSSI masih akan menunggu untuk bertemu kesemua 18 pasukan yang akan bersaing dalam Liga 1 sebelum mengumumkan tarikh pertandingan.

“Dari pihak kami, kami masih tetap menunggu 16 Mac 2017 untuk pengumuman mengenai Liga 1. Ini kerana kami masih perlu bertemu dengan kesemua pasukan yang bertanding dan perancangannya adalah untuk bertemu mereka pada tarikh tersebut.”

Menurut Ahli jawatankuasa Eksekutif PSSi, Yunus Nusi yang memetik kenyataan Ketua Umum PSSI, Edy Rahmayadi, Liga 1 akan bermula pada 15 April 2017 sementara Liga 2 akan bermula dua atau tiga hari selepas sepak mula Liga 1.

18 pasukan tentukan tarikh sepak mula

Namun, berdasarkan perbincangan Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSSI, keputusan akhir tetap akan ditentukan oleh 18 pasukan yang akan bertanding jika mereka bersetuju untuk memulakan saingan Liga 1 pada tanggal 15 April.

Liga 1 yang sebelum ini dikenali sebagai Indonesia Super League (ISL) akan disertai oleh 18 pasukan sementara bagi Liga 2 atau Divisyen Utama dikhabarkan akan disertai oleh 60 kelab.

Selepas Liga 1 bermula barulah kelab-kelab Indonesia boleh mula merancang untuk bermain di peringkat Asia. Sudah lama pasukan dari Malaysia bertemu kelab dari Indonesia. Diharap segala isu dan masalah yang melanda bolasepak Indonesia telah pulih dan penyokong dapat menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi.

Other posts by