Football

Carlton Cole timbang tinggalkan Persib, mahu kembali ke England

Penyerang Persib, Carlton Cole nampaknya sudah mula mencari majikan baru selepas kecewa tidak diturunkan oleh kelab Indonesia itu.

Selepas pulang ke England sempena rehat panjang Liga Indonesia, Carlton Cole yang masih belum pulang ke Bandung dikhabarkan sedang dirisik oleh satu kelab Inggeris yang bermain di Liga Kejohanan England.

Cole ketika ditanya oleh Sky Sports pada Sabtu lalu menyatakan bahawa dia sedang menimbangkan tawaran tersebut.

“Saya tahu ada kelab di England yang mahukan khidmat saya. Mereka telah menemui saya. Namun, saya perlu berfikir dan menimbangkan sama ada saya akan menerima tawaran tersebut atau terus bermain di Indonesia.”

“Apakah saya boleh beraksi di Liga Kejohanan? Adakah saya akan bermain di setiap perlawanan? Saya akan menjadi asset untuk pasukan kerana mereka tahu apa yang mereka akan dapat,” tambah Cole lagi.

Setakat ini, bersama Persib Cole hanya bermain empat perlawanan dan hanya satu penampilan Cole beraksi dalam kesebelasan utama selepas 11 perlawanan Liga 1 Indonesia. Dalam kesemua penampilan tersebut, Cole masih belum menjaringkan sebarang gol.

Persib dikhabarkan akan mendapatkan penyerang baru bagi menggantikan Cole yang menjadi antara pemain berstatus marquee player yang menghiasi Liga 1 Indonesia musim ini bersama rakan sepasukannya Michael Essien dan penyerang Madura United, Peter Odemwingie.

Bekas penyerang Melaka United, Ilija Spasojevic dikatakan bakal dibawa masuk oleh Persib untuk memperkuat jentera serangan mereka terutamanya selepas penyerang utama mereka, Sergio Van Dijk masih mengalami masalah akibat kecederaan lutut.

Other posts by