Football

Terengganu rehatkan Mike Mulvey

Rentetan kekalahan dua perlawanan berturut menyaksikan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan ketua jurulatih Terengganu, Mike Mulvey ‘direhatkan’ dari mengendalikan pasukan tersebut berkuat kuasa semalam.

Presiden PBSNT , Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang mengumumkan berita tersebut berkata, keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan dilakukan bersama ahli jawatankuasa tertinggi pasukan.

Beliau turut berkata, penolong jurulatih pasukan, Mustafa Kamal Abd Wahan akan memikul tugas selaku ketua jurulatih skuad penyu dan dibantu Roshadi Wahab yang kini mengendalikan skuad Sukma dan Piala Presiden Terengganu.

“Kedua-dua mereka ini akan mula memikul tanggungjawab membimbing pasukan Terengganu bagi mengharungi kempen Piala Malaysia dan juga saingan Liga Super sehingga penghujung musim.

“Buat masa ini perubahan hanya dilakukan melibatkan aspek kejurulatihan, manakala pasukan masih mengekalkan pemain sedia ada dan saya berharap reputasi skuad Penyu dapat dipulihkan kembali dalam masa terdekat,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan bersedia untuk meletakkan jawatan selaku Presiden PBSNT sekiranya Terengganu gagal melayakkan diri ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

Skuad Penyu sebelum ini tewas dalam aksi pembuka tirai saingan Piala Malaysia 2-1 kepada pasukan liga Perdana Melaka United dan selepas itu dimalukan 6-1 di tempat sendiri dalam perlawanan ‘derby’ pantai timur menentang Kelantan.

Other posts by