Perjuangan bergu campuran negara, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing di Terbuka Taiwan tersekat di perlawanan akhir apabila tewas kepada pasangan China Zheng Siwei/Chen Qingchen semalam.
Gandingan negara itu menunjukkan aksi hebat di separuh akhir untuk menundukkan pasangan Indonesia Ricky Widianto/Gloria Emanueela Widjaja sebelum itu, namun gagal mengekalkan momentum apabila tewas 18-21,16-21 kepada bergu China itu dalam masa 35 minit di Taipei Arena, Taiwan.
Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain dari China menguasai semua acara perlawanan akhir dalam Kejohanan Terbuka Taiwan yang menyediakan hadiah bernilai US$200,000 (RM798,300) yang tamat semalam.
China memenangi acara bergu wanita, bergu campuran menerusi Zheng Siwei/Chen Qingchen dan bergu lelaki menerusi Li Junhui/Liu Yuchen. Namun, bagi acara perseorangan lelaki dan wanita, kedua-duanya dimenangi oleh wakil tuan rumah yang turut menampilkan pemain dari China.
Dalam acara perseorangan lelaki, pemain tuan rumah Chou Tien Chen menewaskan Qiao Bin dari China 21-18, 21-17 sementara pemain No.2 dunia Tai Tzu Ying membuat kejutan menewaskan pemain No.1 dunia Wang Shixian dari China 23-21,21-16 dalam acara perseorangan wanita.
Other posts by Khairul Nizam