Football

Pemain tempatan barisi bahagian pertahanan Felda United

Barisan pertahanan Felda United akan diuji apabila Liga Super bersambung pada 16 Julai.

The Fighters, yang memiliki rekod kedua terbaik di bahagian pertahanan dalam Liga Super setakat ini (bolos 11 gol dari 12 perlawanan), akan menggunakan sepenuhnya khidmat pemain tempatan di bahagian pertahanan selepas pihak pengurusan mereka membuat keputusan untuk menamatkan khidmat tunjang pertahanan mereka – pemain Brazil Gilberto Alemao.

Ketua jurulatih Felda Irfan Bakti mengesahkan bahawa beliau terpaksa menggunakan semua pemain tempatan di bahagian pertahanan di dalam saingan Liga Super, bermula dengan perlawanan menentang Perak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Dalam satu lagi perkembangan mengejutkan, pihak pengurusan juga telah membuat keputusan untuk mengekalkan khidmat penyerang Brazil, Thiago Fernandes.

“Pihak pengurusan telah melihat pelbagai aspek sebelum membuat keputusan ini. Kami perlu memilih di antara pemain penyerang atau pertahanan,” kata Irfan.

Felda mempunyai lima pemain asing dalam skuad mereka, termasuk pemain tengah Zah Rahan Krangar (Liberia) dan Lutfulla Turaev (Uzbekistan) serta penyerang Francis Forkey Doe (Liberia). Irfan berkata mereka memerlukan penyerang untuk membantu penjaring utama mereka Doe (10 gol) dan Fernandes dipilih berbanding Alemao.

“Ianya akan menjadi ujian besar untuk pemain tempatan di bahagian pertahanan. Kami akan cuba menguatkannya jika boleh,” jelas Irfan.

Alemao dan Norfazly Alias merupakan dua pemain pertahanan tengah pasukan Felda United. Dua pilihan lain di bahagian pertahanan adalah ketua pasukan Mohd Shukor Adan, Muhd Khairul Ismail, Mohd Firdaus Faudzi dan Hasni Zaidi Jamian.

Felda berada di tangga kedua Liga Super dengan 28 mata, di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memiliki 30 mata.

Other posts by