Football

Dua pemain bola sepak tempatan positif ujian doping

Dua pemain tempatan didapati positif ujian doping, masing masing mewakili pasukan Liga Super Perak dan PDRM seperti yang didedahkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Abdul Aziz Yeop.

Hasil ujian yang dilakukan untuk antidoping FAM ke atas kedua-dua pemain itu selepas perlawanan Liga Super di antara Perak dan PDRM, di Stadium Hang Jebat pada Mei lalu mendapati kedua-dua pemain terbabit didapati mengambil bahan terlarang, D-methamphetamine.

“Ujian ini adalah ujian biasa seperti makmal antarabangsa dan jelas didapati kedua-dua pemain ini telah melanggar peraturan AFC antidoping 2015.

“Sekiranya pemain meragui keputusan tersebut, mereka berhak memohon untuk membuat ujian pada sampel B. Kami beri masa sehingga 16 Jun dengan memaklum kepada FAM untuk melakukan ujian sampel B,” jelas beliau.

D-methamphetamine merupakan sejenis dadah perangsang yang berada dalam senarai bahan larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Ujian sampel B boleh dilihat oleh pemain dan pegawai tetapi segala kos perlu ditanggung sendiri.

“Pemain ini akan digantung sementara oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM sehingga satu keputusan yang sahih diperolehi.

“Identiti itu tidak didedahkan dahulu. Biar kita beri tempoh untuk dia membuat rayuan dan sebagainya di atas keputusan itu. Mungkin pemain itu akan diumumkan setelah Jawatankuasa Tatatertib memanggil kedua-dua pemain tersebut,” tambah beliau.

Other posts by