Football

Kita akan pertimbangkan Rene Meulensteen – FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa badan bola sepak negara itu akan mempertimbangkan Rene Meulensteen sebagai jurulatih baru untuk pasukan kebangsaan Malaysia.

Ini berikutan laporan ESPN yang telah mendedahkan bekas penolong jurulatih Manchester United itu merupakan salah satu jurulatih asing yang sudahpun memohon untuk jawatan tersebut.

Ahli Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih Kebangsaan, B. Sathianathan menganggap permohonan itu merupakan satu petunjuk yang baik buat pasukan negara kerana jurulatih itu sememangnya mempunyai  pengalaman yang luas dalam arena bola sepak.

“Saya kenal dengannya ketika Manchester United berada di ibu negara suatu ketika dahulu malah pernah berjumpa dengannya beberapa kali dalam beberapa pertemuan tidak rasmi dan juga sewaktu menghadiri seminar.

“Beliau cukup dikenali di England dan pengalamannya selama beberapa tahun menjadi penolong jurulatih di United dan ketua jurulatih di Fulham bakal menjadikannya antara calon yang terbaik untuk mengisi jawatan jurulatih kebangsaan.

“Tapi kita tetap akan menilainya berdasarkan rekod. Kita tidak mahu mengambil jurulatih hanya dengan berpandukan nama jadi kami akan menilai dan mengkaji terlebih dulu segala aspek sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Rene Meulensteen menyertai senarai deretan jurulatih yang berminat untuk menjadi jurulatih skuad Harimau Malaya, antaranya Marcel Desailly, Bojan Hodak, George Boateng dan Ashley Westwood.

Jurulatih sementara Malaysia, Ong Kim Swee juga menjadi salah satu calon utama yang bakal mengisi jawatan pasukan senior tersebut.

Other posts by