Football

Zainal bakal ganti Durakovic sebagai jurulatih Selangor?

Tatkala kempen Piala Malaysia masih lagi berlangsung, terdapat desas-desus baru yang mengatakan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan akan menyertai Selangor pada musim depan bagi menggantikan jurulatih Selangor ketika ini, Mehmet Durakovic.

Menurut sumber daripada pasukan Pantai Timur tersebut, Zainal bakal meninggalkan Pahang dan menggantikan Mehmet Durakovic sebagai jurulatih Selangor yang baru setelah jurulatih dari Australia itu gagal membawa sebarang kejayaan kepada pasukan Red Giants setelah membimbing pasukan itu selama dua musim.

Malah, Selangor dikatakan tidak akan menyambung kontrak bekas pemain Selangor itu untuk musim hadapan.

“Zainal kemungkinan besar akan menyertai Selangor pada musim depan, tetapi perkara ini bergantung kepada pihak pengurusan Pahang jika mereka masih mahukan khidmatnya,” kata sumber yang enggan namanya didedahkan, kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini peminat Selangor telah mendesak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) supaya memecat Durakovic ekoran kegagalan memenangi sebarang kejuaraan, corak permainan yang hambar serta strategi pembelian pemain yang kurang memuaskan.

Sebaliknya, Zainal pula dikatakan calon yang paling dikehendaki oleh FAS untuk menggantikan Durakovic.

Beliau yang menggantikan Ron Smith pada awal tahun 2014 berjaya memperoleh kejayaan bersama Pahang apabila menjuarai Piala FA menewaskan Felda United dan Piala Malaysia pada musim lalu, menumbangkan JDT dalam penentuan sepakan penalti.

Pahang juga hampir menjadi juara Liga Super 2015 namun hanya mampu berpuas hati di tempat kedua di belakang juara liga musim ini, JDT.

Other posts by