Football

Sarawak FA akan kemuka rayuan kepada FAM

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan membuat rayuan secara rasmi berhubung dengan hukuman denda sebanyak RM80,000 yang telah dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini berikutan hukuman denda yang diumumkan oleh FAM beberapa hari lalu yang turut menyaksikan FAS diarah untuk mengadakan dua perlawanan secara tertutup tanpa kehadiran penonton di Stadium Negeri, di Kuching.

Setiausaha FAS Abdullah Julaihi berkata persatuan itu telah menerima surat daripada jawatankuasa disiplin FAM berkenaan dengan keputusan badan bola sepak negara itu menghukum FAS.

Photo Credit: Borneo Post
Photo Credit: Borneo Post

“Kami diberi dua minggu untuk membuat rayuan. Saya akan menghantar rayuan rasmi dalam minggu ini untuk mengurangkan denda RM 80, 000 dan juga dua perlawanan tanpa penonton di stadium,” katanya, hari ini.

Abdullah turut berharap pada masa akan datang penyokong Sarawak dapat menjaga tingkah laku semasa menyaksikan perlawanan di stadium.

Dalam kenyataan rasmi FAM, FAS dihukum kerana telah melanggar Artikel 25 Kod Tatatertib FAM 2015.

Penyokong Sarawak dituduh membaling mercun, suar dan bom asap ke dalam padang dan turut bersalah dalam merosakkan kereta polis dan membaling batu ke arah bas pasukan pihak lawan.

Photo Credits: Borneo Post
Photo Credits: Borneo Post

Kesalahan-kesalahan tersebut didakwa berlaku ketika perlawanan Piala Malaysia 2014 di antara Sarawak dengan Perak pada 30 Ogos, perlawanan Liga Super 2015 di antara Sarawak dengan Perak pada 20 Jun dan perlawanan Liga Super di antara Sarawak dengan Felda United pada 27 June 2015. – Bernama

PANDANGAN KAMI?

FAM kemungkinan besar akan mengurangkan denda terhadap FAS tetapi tiada jaminan yang ini akan menyelesaikan masalah kekacauan penyokong-penyokong di stadium. Saban tahun kita boleh lihat berapa banyak pasukan yang sudah didenda tetapi masalah kekacauan tetap berlaku. FAM sering mengambil mudah soal kawalan keselamatan sebaliknya menyalahkan pasukan dan penyokong tanpa benar-benar memikirkan jalan penyelasaian yang sesuai untuk menangani masalah ini. Sistem kawalan keselamatan yang baru dan profesional perlu diperkenalkan kepada semua pasukan dan ini sesuatu yang harus diambil serius jika mahu penswastaan liga berjalan dengan lancar pada musim hadapan.

Other posts by