Football

Frank Lampard bakal sertai Oxford United sebagai pengurus?

Oxford sebelum ini terkenal dengan Universiti Oxford yang melahirkan begitu ramai cendikiawan dan bijak pandai di dunia.

Namun, selepas ini mungkin Oxford akan terkenal kerana kelab bolasepak Oxford United bakal memiliki seorang pengurus yang pernah memenangi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga yang juga bekas pemain kebangsaan England.

Kelab League One itu berminat untuk berbincang dengan Frank Lampard berkenaan kekosongan kerusi pengurus mereka selepas pengurus lama mereka, Michael Appleton meninggalkan pasukan untuk menjadi penolong pengurus kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City.

Lampard, yang bersara pada musim lalu merupakan salah satu di antara nama-nama yang ada dalam senarai pendek Oxford United untuk menjadi pengurus baru mereka.

Jika Lampard menyertai Oxford United, ia akan menjadi kali pertama bekas pemain Chelsea itu menguruskan pasukan selepas kerjaya panjangnya sebagai pemain di mana dia beraksi untuk West Ham United, Manchester City dan New York City selain daripada Chelsea.

Sebagai pemain, Lampard memegang rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea apabila menjaringkan 211 gol untuk The Blues.

Namun, Lampard dikatakan bukan calon utama untuk kekosongan jawatan pengurus Oxford United.

Bekas pengurus Crystal Palace, Dougie Freedman dikatakan sebagai calon utama berbanding semua calon.

Freedman yang pernah menjadi pengurus Crystal Palace itu juga pernah bergelar pengurus pasukan Bolton Wanderers dan Nottingham Forest.

Dia juga bertanggungjawab melahirkan pemain berbakat seperti Nathaniel Clyne dan Wilfried Zaha ketika bersama Palace.

Other posts by