Football

Kami mengembalikan Indonesia ke dalam peta bolasepak Asia Tenggara – Stefano Lilipaly

Pemain Indonesia yang beraksi di Liga Belanda, Stefano Lilipaly mahu menamatkan kariernya di Indonesia.

Stefano yang bermain di Eerste Divisie atau liga divisyen dua Belanda menyatakan keinginan tersebut menerusi kenyataanya yang dipetik dari laman web rasmi Persekutuan Bolasepak Asia (AFC).

Kenyataan tersebut pastinya membuatkan banyak pasukan di Indonesia mula membuat perancangan untuk membawa masuk pemain kebangsaan Indonesia itu, tetapi malang buat mereka ia tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Pemain berusia 27 tahun itu menyatakan bahawa dia masih mahu mengembangkan kerjayanya di Eropah terlebih dahulu sebelum kembali ke Indonesia.

Lilipaly bersama pasukannya SC Cambuur hampir berjaya naik ke liga divisyen utama Belanda, Eredevisie, namun gagal dalam perlawanan play-off mereka. Stefano Lilipaly telah berjaya menjaringkan lapan gol buat pasukannya bagi musim ini.

“Saya ingin mengembangkan kerjaya saya sehingga peringkat tertinggi di Eropah. Mungkin selepas tiga tahun saya akan kembali ke Asia,” kata Lilipaly lagi.

Walaupun bermain di liga Eropah, Lilipaly tetap akan sentiasa ingat kenangan bagaimana dia bersama rakan sepasukannya berjaya membawa Indonesia ke perlawanan akhir Piala AFF 2016 yang lalu.

Menurutnya, kejayaan tersebut telah membuka mata peminat bolasepak di Asia Tenggara mengenai kehebatan Indonesia selepas ramai yang tidak meramal Indonesia akan mara sejauh itu selepas penggantungan FIFA ke atas mereka tamat.

“Ketika itu kami mengembalikan Indonesia ke peta bolasepak Asia Tenggara. Ada pihak yang menyangka kami tidak akan mampu melepasi peringkat kumpulan, tetapi kami mara sehingga ke perlawanan akhir. Saya rasa kami berjaya mengejutkan ramai orang ketika itu.

Indonesia akan berdepan Kemboja pada hari Khamis ini di Phnom Penh dan Puerto Rico pada hari Selasa hadapan di Sleman, Yogyakarta dalam siri perlawanan persahabatan.

Lilipaly telah dipanggil oleh jurulatih Indonesia, Luis Milla sebagai salah seorang dari empat pemain senior untuk bergabung dengan pemain bawah 22 tahun bagi perlawanan tersebut.

Namun, nampaknya hasrat penyokong Indonesia untuk melihat Lilipaly menyarung jersi skuad Garuda dalam perlawanan itu mungkin tergendala selepas Lilipaly terpaksa menangguhkan hasratnya untuk turut serta kerana isterinya bakal melahirkan anak mereka yang pertama.

Other posts by