Football

Penyokong Persib mahu Kiatisuk jadi jurulatih baru pasukan

Selepas tewas dua perlawanan berturut-turut dan mempamerkan aksi hambar dalam Liga 1 Indonesia, penyokong Persib Bandung sudah mula menunjukkan rasa tidak puas hati dengan jurulatih mereka, Djadjang Nurdjaman.

Kemuncaknya adalah apabila penyokong Persib, yang terkenal dengan jolokan Bobotoh, menceroboh masuk ke dalam padang di Stadium Patriot, Bekasi ketika perlawanan di antara Persib menentang Bhayangkara FC berlangsung.

Persib tewas 2-0 dalam perlawanan tersebut dan jurulatih Persib, Djadjang terus menerima kritikan dari bobotoh. Ekoran kekalahan tersebut, bobotoh mahu Djadjang dipecat dan jurulatih baru dibawa masuk.

Antara calon yang menjadi sebutan bobotoh adalah bekas jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang. Sejak dua bulan lalu, akaun media sosial bekas pemain Perlis itu dihujani dengan penyokong Persib yang meminta dia menjadi jurulatih pasukan.

Selepas kekalahan kepada Bhayangkara, rayuan para bobotoh di akaun media sosial Kiatisuk semakin bertambah. Bahkan ada yang berusaha menggunakan bahasa Thailand untuk memujuk jurulatih yang terkenal dengan jolokan Zico itu untuk melatih Persib.

Namun, segala usaha mereka itu nampaknya tidak dibalas oleh Kiatisuk buat masa ini. Bekas pemain Huddersfield Town itu dilihat masih belum mahu kembali ke kerusi jurulatih walaupun mengakui menerima banyak tawaran sama ada dari Indonesia atau Malaysia.

Kiatisuk buat masa ini dilihat sedang mengikuti kursus Diploma kejurulatihan profesional AFC di Korea Selatan seperti yang disiarkan olehnya di akaun instagramnya baru-baru ini.

Persib sebenarnya tidak asing dengan pemain dari Thailand. Sebelum ini antara pemain dari Thailand yang pernah beraksi bersama pasukan yang terkenal dengan jolokan Maung Bandung ini adalah penjaga gol Sinthaweechai “Kosin” Hatharattainakool (2006) dan pemain tengah Suchao Nuchnum (2009-2010).

Persib kini berada di tangga ke-11 Liga 1 Indonesia selepas hanya mampu mencatat tiga kemenangan dari sembilan perlawanan. Pada awal musim, Persib dilihat antara pasukan berpotensi untuk menjuarai liga selepas berbelanja besar membawa masuk pemain berstatus marquee seperti bekas pemain Chelsea, Michael Essien dan bekas pemain West Ham, Carlton Cole serta pemain kebangsaan Indonesia, Raphael Maitimo.

Other posts by