Pemain naturalisasi baru Indonesia, Ezra Walian sudah pasti akan meninggalkan skuad muda Ajax Amsterdam, Jong Ajax setelah kontraknya berakhir pada 30 Jun ini.
Ezra mengakhiri ikatannya bersama kelab yang berpengkalan di Amsterdam itu setelah beraksi untuk tiga peringkat usia pasukan muda kelab berkenaan.
Memetik kenyataan Ezra seperti dilaporkan oleh akhbar Belanda, Haarlem, dia berkata: Ajax merupakan pengalaman yang sangat bagus untuk saya. Saya mendapat banyak pengalaman di sini.”
Reading destinasi Ezra seterusnya?
Pemain berusia 19 tahun itu masih menimbang beberapa pilihan menjelang hari terakhirnya bersama Jong Ajax.
Menurut media Eropah, antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan Ezra adalah pasukan Liga Kejohanan di England, Reading yang dibimbing oleh bekas pemain Ajax dan Manchester United, Jaap Stam. Namun perkara tersebut telah dinafikan oleh pengarah teknikal Reading, Brian Tevreden.
Memetik kenyataannya di kepada Reading Chronicle, dia berkata: “Anda membaca dan mendengar berita seperti ini setiap hari. Saya boleh sahkan bahawa Reading tidak pernah bercakap dengan pemain berkenaan dan kami tidak menawarkan sebarang kontrak kepadanya.”
Menurut laporan Kompas.com dan Juara, selain kelab Eropah, Ezra juga dikatakan telah didekati oleh beberapa kelab di Liga Indonesia yang berminat untuk mendapatkannya.
Belum mahu beraksi di Indonesia
Namun, buat Ezra dia belum mahu beraksi di Liga Indonesia. Ezra menyatakan bahawa dia mungkin akan beraksi bersama kelab di Indonesia di penghujung kerjayanya nanti.
Selain memikirkan kelab mana yang akan disertainya, Ezra juga perlu menumpukan perhatian dalam misi memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur bersama pasukan bawah 22 tahun Indonesia.
Setakat ini, Ezra hanya pernah beraksi dalam perlawanan menentang Myanmar ketika perlawanan persahabatan di Stadium Pakansari pada 21 Mac lalu.
Pastinya Ezra berminat untuk kekal di Liga Belanda atau mana-mana liga Eropah. Ezra boleh mengikut jejak langkah Stefano Lilipaly yang bermain di liga divisyen 2 Belanda.
Selain Ezra dan Stefano Lilipaly, terdapat beberapa pemain yang beraksi di Liga Belanda yang dikatakan akan dijemput untuk mewakili pasukan kebangsaan Indonesia. Antaranya adalah dua pemain skuad utama Ajax iaitu Jairo Riedewald dan Kenny Tete.
Other posts by Khairul Nizam