Uncategorized

FIFPRO pertahan Mckain, mahu FAM ambil tindakan pada Kelantan

Isu pembayaran gaji Kelantan terus menjadi sebutan. Selepas Kelantan mengumumkan pelantikan pengarah teknikal dan kemasukan pemain asing baru.

Bekas pemain pertahanan Kelantan, Jonathan McKain menempelak keputusan pengurusan Kelantan yang terus mengabaikan kebajikan bekas pemain mereka itu menerusi laman sosial peribadinya.

Apa yang diluahkan McKain itu mendapat perhatian Persatuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPRO).

FIFPRO tegur di media sosial

Membalas luahan John McKain itu, FIFPRO menerusi laman sosial mereka mempersoal tindakan pasukan Kelantan dan kenapa ianya terus dibiarkan berlaku.

“Kelab yang mempunyai hutang dan terus aktif seperti tiada apa yang berlaku? Kenapa ini dibiarkan, FAM? Cc PFAM.”

Perkara ini turut dinyatakan oleh Ketua bahagian Komunikasi dan Hubungan Korporat FIFPRO, Andrew Orsatti yang juga menggunakan laman sosialnya untuk mempersoal perkara ini.

“Bagaimana Kelantan boleh mendapatkan pemain baru ketika mereka masih berhutang dengan bekas pemain mereka seperti Jonathan Mckain? Harap perkara ini boleh dijelaskan oleh FAM.”

“Kes tidak membayar gaji ini-menjadi terlampau biasa. Beribu kes seperti ini dibawa ke FIFA saban tahun.

“Adakah pemain baru Kelantan dari Gambia Sanna Nyasi sedar mengenai berapa ramai pemain dari kelab berkenaan yang mengadu kepada Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM)?”

McKain mahu segera selesai

Jonathan Mckain yang pernah beraksi untuk Kelantan pada tahun 2015-2016 adalah antara bekas pemain Red Warriors yang lantang memperjuang hak bekas pemain yang masih tidak menerima gaji dari kelab Pantai Timur itu.

Pada tahun lalu, McKain telah membawa perkara ini ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk diselesaikan.

Menerusi media sosialnya, McKain sekali lagi meluahkan perasaannya selepas melihat berita Kelantan melantik pengarah teknikal dan mendapatkan pemain import baru.

“Untuk melihat Kelantan melantik pengarah teknikal dan pemain import baru tanpa membayar tunggakan kontrak sangat mengecewakan. Sudah melebihi tujuh bulan.

“Bayar sahajalah hutang itu supaya kita semua boleh teruskan hidup. Ini sudah cukup. Kami semua ada keluarga.”

FAM baru-baru ini telah melangsaikan hutang geran tahunan sebanyak RM 9 juta kepada semua pasukan di Liga Super dan Liga Perdana Malaysia.

Pembayaran tersebut meletakkan syarat bahawa pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji jurulatih dan pemain perlu melunaskannya dua minggu selepas duit itu diagihkan.

FAM sebelum ini mengeluarkan amaran bahawa pasukan yang gagal membayar gaji pemain boleh dikenakan hukuman pemotongan mata atau lebih teruk iaitu disingkirkan ke liga bawahan.

Other posts by