Football

Bhayangkara FC mahu dapatkan bekas bintang Real Madrid

Kehadiran pemain berstatus marquee player sememangnya merancakkan lagi saingan Liga 1 Indonesia.

Selepas beberapa masalah yang berlaku beberapa tahun sebelum ini, nampaknya Liga 1 Indonesia benar-benar berjaya menarik perhatian bukan sahaja pemain bertaraf dunia, tetapi juga peminat bolasepak dari seluruh dunia.

Selepas kehadiran Michael Essien, Peter Odemwingie, Carlton Cole, Mohamed Sissoko dan yang terbaru Didier Zokora, seorang lagi bekas pemain bertaraf dunia akan menyertai revolusi liga Indonesia.

Bhayangkara mahu dapatkan Baptista

Setiausaha Agung Bhayangkara FC, Rahmad Sumanjaya telah memberikan bayangan mengenai pemain berstatus marquee player yang mahu dibawa masuk mereka bagi saingan Liga 1 tahun ini.

“Dia berasal dari Brazil dan pernah bermain di Eropah. Dia bermain di posisi tengah dan boleh menyerang serta bertahan,” kata Rahmad seperti dipetik dari laporan Juara.net.

Nama yang paling kuat dikaitkan dengan pasukan dari Jawa Timur ini adalah bekas pemain Real Madrid dan Arsenal, Julio Baptista.

Dikatakan kedua-dua pihak telah berbincang mengenai perkara ini, namun tiada sebarang perjanjian yang telah termeterai. Dikatakan Bhayangkara telah mengirimkan memorandum of understanding (MoU) kepada pemain berkenaan dan masih menunggu pemain tersebut menerima atau tidak kontrak yang ditawarkan.

Liga Indonesia tidak 100% perlu marquee player

Perancangan kelab untuk membawa masuk pemain berstatus marquee player diterima baik oleh pemain Bhayangkara seperti Evan Dimas. Bercakap kepada Juara.net, Evan Dimas berkata: “Kalau ada marquee player, saya ucapkan Alhamdulillah. Namun, jika tidak ada pun tiada masalah. Kerana, rakan-rakan sepasukan yang ada sudah bagus.

“Tidak benar saya mengatakan bahawa kehadiran marquee player tidak penting dan tidak menjamin kelab mampu menjadi juara liga.”

Jurulatih baru Bhayangkara FC, Simon McMenemy pula menyatakan dia mahu pemain yang berstatus marquee player yang datang bukan semata-mata nama besar, tetapi mampu membantu pasukan.

Bercakap kepada kompas.com, Simon berkata: “Saya masih tidak yakin 100% bahawa bolasepak Indonesia memerlukan marquee player. Namun penting untuk kami mendapatkan pemain marquee player yang tepat, dan bukan sekadar nama besar. Saya mahu pemain yang datang untuk berkerja keras berasama rakan sepasukannya.”

Bhayangkara FC kini berada di tangga kesepuluh liga selepas satu kemenangan dan satu kekalahan dalam dua perlawanan pertama mereka.

Other posts by