Mengikut jejak langkah Michael Essien, Carlton Cole, Peter Odemwingie dan Mohamed Sissoko, seorang lagi bekas pemain Liga Perdana Inggeris akan menyertai kelab Liga Indonesia sebagai pemain berstatus marquee player.
Bekas pemain tengah Tottenham Hotspurs, Didier Zokora sah menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Semen Padang sebagai pemain berstatus marquee player bagi saingan liga musim ini.
Bekas pemain kebangsaan Ivory Coast itu menandatangani kontrak menyertai pasukan yang terkenal dengan jolokan ‘Kabau Sirah’ pada hari Isnin di Wisma Indarung.
Zokora yang berusia 36 tahun bakal menjadi pemain berstatus marquee player tertua di Liga 1 Indonesia. Zokora akan menyarung jersi nombor 15 bersama Semen Padang.
Didier Zokora memulakan kariernya bersama Asec Mimosas di Ivory Coast sebelum berpindah ke Eropah bersama Racing Genk. Kemuncak kariernya sebagai pemain bolasepak adalah apabila dia menyertai Tottenham Hotspur pada tahun 2006. Bersama Spurs, Zokora berjaya menjulang trofi Piala Liga, trofi pertama kelab London itu dalam masa sembilan tahun.
Selepas bermain di Sepanyol dan Turki, Zokora berhijrah ke Asia untuk meneruskan kerjayanya dengan menyertai Pune City pada tahun 2015. Sebelum ke Semen Padang, dia beraksi untuk satu lagi kelab India, Northeast United pada tahun lalu.
Semen Padang kini berada di tangga teratas Liga 1 Indonesia selepas memungut empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri dalam dua perlawanan pertama mereka. Semen Padang menang 3-1 menentang Gresik United pada Jumaat lalu.
Other posts by Khairul Nizam