Football

Singapura terima kunjungan Argentina 13 Jun ini

Pasukan kebangsaan Singapura akan beraksi menentang naib johan Piala Dunia 2014, Argentina dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Singapura pada 13 Jun ini.

Perlawanan tersebut telah diatur sempena ulang tahun ke 125 Persatuan Bolasepak Singapura dan dijangka akan menampilkan pemain-pemain bintang seperti Lionel Messi, Sergio Aguero, Gonzalo Higuain, Angel Di Maria dan ramai lagi.

Perlawanan tersebut yang dianjurkan oleh FAS dan UNICESS, syarikat pemasaran sukan dan hiburan dunia merupakan salah satu dari perlawanan empat negara yang akan menyaksikan Argentina menentang Brazil di Melbourne, Australia pada 9 Jun dan Australia menentang Brazil pada hari yang sama dengan perlawanan Argentina menentang Singapura.

Jurulatih Singapura, V. Sundram Moorthy menyatakan bahawa pasukannya akan mendapat pengalaman menerusi perlawanan ini.

“Argentina merupakan salah satu dari pasukan terhebat dunia dengan pemain berkelas dunia seperti Lionel Messi, Angel Di Maria dan Sergio Aguero. FAS telah berkerja keras untuk mengatur perlawanan ini yang akan memberi kelebihan kepada pemain dan jurulatih dari segi pendedahan di samping memberikan hiburan kepada peminat di Singapura.”

“Saya tidak sabar untuk membawa pasukan saya menentang juara dua kali Piala Dunia dan berharap penyokong Singapura akan membanjiri stadium untuk menyokong kami. Sebuah stadium yang penuh pada 13 Jun nanti akan memberi semangat kepada pemain kita ketika menentang pemain berkelas dunia,” kata Sundram Moorthy seperti dilaporkan laman web TheOnlineCitizen.com.

Tiket bagi perlawanan tersebut boleh dibeli secara online di www.sportshubtix.sg bermula 20 April dengan harga sekitar 40 ke 188 Dollar Singapura untuk tiket biasa dan 25 Dollar Singapura untuk kanak-kanak dan warga tua.

 

Other posts by