Football

Ronaldinho perkenal single pertama

Kebiasaannya selepas seorang pemain bolasepak menggantung but, mereka sudah tahu apa yang mereka ingin lakukan selepas bersara.

Ada yang menjadi jurulatih, ada yang menjadi pengulas dan mungkin juga ada yang menjadi ahli perniagaan.

Tetapi ada juga yang istimewa dan tahu mereka mempunyai bakat yang lain selain bolasepak dan memilih untuk mengembangkan bakat tersebut selepas bersara.

Ronaldinho perkenal single pertama

Bekas pemain bolasepak Brazil, Ronaldinho, baru-baru ini telah melancarkan kerjaya barunya dalam bidang muzik dan nyanyian menerusi single pertamanya yang diberi nama ‘Sozinho’.

Legenda Barcelona yang berusia 37 tahun itu, yang kini sudah bersara secara rasmi, sudah tidak bermain secara profesional sejak tahun 2015 dan telah dilantik sebagai duta bagi kelab bolasepak Barcelona pada bulan lalu.

Ramai antara kita mungkin menyangka selepas menggantung but, Ronaldinho akan kembali bermain futsal seperti yang pernah dinyatakannya, tetapi rupanya pemain bolasepak yang terkenal dengan teknik flip flap itu telah mula membuat lagu untuk mencuba nasib dalam bidang muzik.

Ramai yang sudah tahu bahawa Ronaldinho adalah antara pemain bolasepak yang begitu menggemari muzik dan dia juga pernah membuat penampilan dalam beberapa video muzik Rap.

Ronaldinho juga pernah menyanyikan lagu rasmi Sukan Paralimpik pada tahun 2016 yang berlangsung di Rio de Janeiro. Tetapi ini kali pertama Ronaldinho melancarkan lagunya sendiri.

Lagu peribadi Ronaldinho

Ketika Ronaldinho melancarkan lagu ini, dia berkata: “ Terima kasih rakan-rakan. Ini merupakan lagu pertama saya, tanpa bantuan penggubah!!”

Mendengar lagu tersebut, boleh dikatakan ia satu usaha yang bagus dari pemain bolasepak yang terkenal dengan imej tersenyumnya.

Tajuk lagu ini jika diterjemah bertajuk ‘Sendiri’ dan dinyanyikan dalam rentak samba yang sedikit lembut. Berbeza dengan imej Ronaldinho yang kelihatan seperti seorang yang menggemari lagu Samba yang rancak.

Antara lirik dari lagu tersebut, berbunyi begini: “ Aku, sekarang sendiri. Aku tidak merasa lemah, atau kuat. Tetapi siapa tahu nasibku. Tenangkan aku dalam perjuangan ini.”

Nampaknya lagu ini bermain dengan emosi yang kuat dan sebuah lagu peribadi dari bekas pemenang Ballon d’Or itu. Mungkin selepas ini kita akan melihat Ronaldinho menaiki pentas untuk menerima trofi anugerah Grammy pula. Tetapi diharap lagu seterusnya kita akan mendengar tempo samba yang rancak seperti biasa ditunjukkan dalam corak permainan Ronaldinho.

Other posts by