Apa yang biasanya akan kita lakukan jika syarikat tempat kita berkerja tidak membayar gaji?
Ada di antara kita yang mungkin akan mengadu kepada kesatuan pekerja, ada yang mungkin membawa isu ini ke mahkamah dan ada juga yang mungkin hanya menunggu sehingga perkara itu selesai.
Tapi tidak bagi bekas staff kejurulatihan pasukan kebangaan Ghana, Gerard Nus.
Enggan keluar dari hotel
Gerard Nus, yang menuntut bonusnya dari persatuan bolasepak Ghana bertindak enggan keluar dari bilik hotelnya di Accra selagi dia tidak dibayar sebagai tanda protes.
Nus memulakan protesnya pada bulan Februari selepas GFA memberitahu di penghujung Piala Negara-Negara Afrika bahawa bonus kesemua pasukan teknikal pasukan tidak dapat dibayar ekoran masalah kewangan.
Pihak GFA telah bertemu dengan kesemua pegawai pasukan dan menjelaskan mengenai kesukaran berkenaan dan meminta mereka pulang dan bayaran akan diberikan selepas mereka dapat menyelesaikan masalah kewangan tersebut.
Jurulatih Ghana, Avram Grant dan pegawai lain bersetuju untuk pulang tetapi Nus membuat keputusan untuk terus tinggal di bilik hotelnya selagi dia tidak menerima bayaran bonusnya.
Nus keluar akhirnya
Namun, perkembangan terbaru menyaksikan Nus akhirnya meninggalkan bilik hotelnya dan pulang setelah Persatuan Bolasepak Ghana membayar bonus kepadanya walaupun bukan dalam jumlah penuh.
GFA menyatakan bahawa mereka berjaya mengumpul dana untuk membayar semua bayaran tertunggak pada hari Sabtu lalu.
Nus dalam satu kenyataan di laman Twitter peribadinya menyatakan: “ Terima kasih kepada semua rakyat Ghana. Memori indah sentiasa ada di negara yang begitu bersemangat dengan bolasepak.
Nus yang meninggalkan biliknya pada hari Isnin turut berkata: “ Semua ini lebih kepada mempunyai prinsip dan menuntut hak berbanding wang itu.
“Saya gembira dapat bertemu keluarga saya sekarang.”
Akan tetapi, kini timbul masalah baru di antara Nus dan GFA.
Siapa yang perlu membayar bilik hotel tersebut?
Mungkin selepas ini, jika ada pasukan di Malaysia yang tidak membayar gaji, pemain-pemain atau staff boleh mengikut jejak langkah Nus sehingga gaji mereka dibayar oleh majikan.
Other posts by Khairul Nizam