Nampaknya kita tidak akan dapat melihat seorang bintang sukan negara beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini.
Ini pastinya satu berita yang mengecewakan terutamanya di saat Malaysia mahu merangkul pingat emas sebanyak yang mungkin dan menjadi juara keseluruhan Sukan SEA KL nanti.
Cai Lin perlu jalani pembedahan
Perenang wanita utama Malaysia bagi jarak sederhana dan jauh, Khoo Cai Lin telah mendedahkan bahawa dia terpaksa menjalani pembedahan awal Mei nanti disebabkan scoliosis.
Scoliosis adalah apabila tulang belakang yang biasanya lurus ke bawah membengkok ke tepi berbanding kebiasaannya di tengah.
Cai Lin menyatakan bahawa selepas menjalani pembedahan tersebut dan memerlukan jangka masa sehingga tiga bulan untuk pulih sepenuhnya.
Ini merupakan satu tamparan hebat buat Cai Lin yang pastinya mahu membuat penampilan Sukan SEA kelapannya dan di hadapan penyokong Malaysia di Kuala Lumpur pada bulan Ogos nanti.
Bercakap kepada The Star, Cai Lin berkata: “Sebab kenapa saya mahu menjalani pembedahan adalah disebabkan scoliosis saya semakin teruk. Saya telah menangguhkan pembedahan sebelum ini disebabkan kerjaya renang saya.
“Saya perlu berehat selama sebulan tanpa melakukan apa-apa dan seterusnya menjalani proses pemulihan selepas itu. Jadi, saya tidak akan dapat beraksi dalam Sukan SEA KL Ogos ini.
“Saya mahu beraksi dalam Sukan SEA di tempat sendiri dan mendapat pingat kerana sebelum ini saya tidak berpeluang…Malangnya ia tidak akan terjadi.
Cai Lin merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara 200m, 400m dan 800m gaya bebas serta 200m gaya kupu-kupu.
Perenang kelahiran Selangor ini telah memenangi lima pingat emas Sukan SEA sejak kali pertama turut serta pada tahun 2003 di Hanoi.
Di Singapura dua tahun lalu, Cai Lin terpaksa menarik diri dari acara 800m gaya bebas selepas kecederaan tonsil, namun dia berjaya merangkul pingat perak dalam acara 400m gaya bebas dua hari kemudian.
Kesimpulan
Ketiadaan Cai Lin perlu diambil sebagai satu pembakar semangat buat perenang lain untuk menggantikan tempatnya. Tiada alasan untuk perenang lain lemah semangat dan menjadikan ketiadaan Cai Lin sebagai alasan untuk tidak bangkit dan menunjukkan kehebatan mereka.
Beraksi di laman sendiri seharusnya menjadi pembakar semangat buat sesiapa pun yang akan menggantikan tempat Cai Lin nanti.
Mungkin ketiadaan Cai Lin akan membantu melahirkan perenang baru yang akan mampu memberi saingan dan memecahkan rekod kebangsaan atau mungkin rekod Sukan SEA di Kuala Lumpur Ogos ini.
Other posts by Khairul Nizam