Tidak cukup pemain? Tidak apa, panggil sahaja pengganti.
Itu yang dilakukan oleh jurulatih baru Indonesia, Luis Milla apabila tiga pemain, I Putu Gede Juni Antara, Muhammad Hargianto (Bhayangkara FC) dan Bagas Adi Nugroho (Arema) tidak dapat menghadiri sesi pemilihan ketiga pasukan B-22 Indonesia.
Kenapa mereka tidak hadir?
Putu Gede dan Hargianto tidak dapat hadir ke sesi pemilihan kerana akan menghadiri majlis pelantikan sebagai anggota polis Republik Indonesia hari ini sementara Bagas pula mengalami kecederaan selepas beraksi untuk Arema di Piala Presiden.
Tiga pemain yang dipanggil adalah Yabes Roni (Bali United), Paulo Sitanggang (Barito Putera) dan Nazar Nurzaidin (Barito Putera) bagi menggantikan tempat ketiga-tiga pemain itu.
Luis Milla akan umum skuadnya
Pemilihan ketiga ini dijangka menjadi pemilihan akhir buat Luis Milla. Dikhabarkan bahawa Luis Milla akan mengumumkan skuad yang akan menjalani latihan pusat menjelang Sukan SEA 2017 dan kelayakan Piala AFC Bawah 19 tahun selepas berakhir pemilihan kali ini.
“Mungkin sekurang-kurangnya tiga hari selepas berakhir perlawana akhir Piala Presiden, Luis Milla akan mengumumkan barisan pemain yang akan menyertai skuadnya,” kata Hanif Thamrin, Pengarah Media dan Hubungan Antarabangsa Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) seperti dilaporkan oleh Bola.com.
Dengan pemanggilan tiga pemain pengganti itu, jumlah pemain yang telah dipanggil untuk pemilihan adalah 26 orang. Pemilihan akan bermula pada hari Selasa (7 Mac) hingga hari Khamis (9 Mac) di padang Sekolah Pelita Harapan, Karawaci, Tangerang.
Kesimpulan
Melihat kepada bantuan dan tempoh persiapan yang diberikan kepada Luis Milla, ianya agak berbeza dengan apa yang diberikan kepada jurulatih B22 Malaysia, Frank Bernhardt.
Kerjasama yang diberikan oleh PSSI dan kelab-kelab Indonesia begitu baik sekali untuk membantu Luis Milla membentuk pasukan yang kuat untuk menghadapi Sukan SEA dan kelayakan Piala Asia B19 tahun.
Frank Bernhardt wajar diberikan masa dan kerjasama baik untuk dia membentuk pasukan terkuatnya. Pastinya rakyat Malaysia mahu melihat Malaysia merangkul pingat emas di Sukan SEA yang bakal berlangsung di laman sendiri nanti.
Other posts by Khairul Nizam