Others

Malaysia dan Singapura berminat bida jadi tuan rumah bersama Sukan Olimpik

Selepas Sukan Komanwel 1998 dan Piala Asia 2007, tiada lagi temasya sukan bertaraf dunia yang dianjurkan oleh Malaysia.

Kita sekadar menjadi tuan rumah untuk kejohanan peringkat Asean seperti Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki sahaja dan dilihat belum berkemampuan untuk menjadi tuan rumah untuk acara sukan bertaraf dunia lagi.

Namun, pastinya ramai pernah terfikir bagaimana jika Malaysia menjadi tuan rumah untuk acara sukan bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik?

Malaysia ada peluang anjur Olimpik

Berdasarkan agenda Olimpik 2020 yang diperkenal Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 2014, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar yakin Malaysia berpeluang membida hak menjadi tuan rumah jika kos bidaan dikurangkan.

Salah satu daripada cadangannya adalah untuk menjadi tuan rumah bersama Singapura untuk menganjurkan temasya sukan bertaraf dunia itu.

Bercakap sebagai panel di Kongres Kesatuan Penulis Sukan Asia, beliau berkata: “ Ada perbincangan awal yang dilakukan oleh kedua-dua negara. Malaysia dan Singapura keduanya mempunyai kemudahan yang diperlukan seperti kompleks sukan, lapangan terbang, hotel dan juga kemudahan pengangkutan. Dan dengan projek keretapi pantas yang menghubungkan Malaysia dan Singapura yang sedang dilaksanakan, ianya memberikan kelebihan. Kita mempunyai infrastruktur itu, tetapi ianya masih terlalu awal untuk diperkatakan.

Apa itu Agenda 2020?

Agenda 2020 adalah satu plan strategik yang dicipta IOC untuk membantu calon bandar yang berpotensi untuk membentang projek yang bersesuaian dengan ekonomi, masyarakat dan persekitaran mereka.

Cara menggurangkan kos bidaan adalah dengan cara mengurangkan jumlah perwakilan yang dibenarkan dan menyediakan bantuan kewangan yang signifikan dari IOC.

Tunku Imran turut menambah: “Singapura juga melihat perkara yang sama, mereka tidak mahu terlibat dengan bidaan yang tinggi dan saya tidak bersedia untuk meyakinkan kerajaan Malaysia untuk berbelanja besar untuk pembidaan terutamanya jika jumlah tersebut boleh digunakan untuk perkara lain.”

Malaysia belum bersedia jadi tuan rumah

Pada tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah menyatakan bahawa Malaysia belum bersedia untuk membida hak menjadi tuan rumah Sukan Olimpik.

Beliau berkata bahawa menjadi tuan rumah untuk temasya sukan berkenaan adalah tidak realistik kerana Malaysia masih belum memenangi pingat emas di Sukan Olimpik.

Melihat kepada apa yang berlaku kepada stadium yang dibina di Rio dan Beijing sebelum ini, pastinya ramai rakyat Malaysia yang akan menolak bidaan menjadi tuan rumah temasya berkenaan, terutamanya jika ia akan menggunakan kos yang banyak.

Other posts by