Football

Kiatisuk sambung kontrak, Thailand buang jawatan pengurus pasukan

Kiatisuk Senamuang atau lebih dikenali sebagai Zico adalah seorang lagenda bolasepak bagi rakyat Thailand.

Selepas beraksi cemerlang selaku pemain, dia berjaya membantu Thailand menjuarai Piala AFF Suzuki untuk dua edisi berturut selain layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018.

Selepas lama menunggu, akhirnya teka-teki mengenai kedudukan Kiatisuk Senamuang terjawab juga semalam.

Zico sambung kontrak

Masa depan Kiatisuk akhirnya terjawan apabila Persekutuan Bolasepak Thailand (FAT) mengikat kontrak selama setahun bersama jurulatih itu di mana ianya akan berakhir pada 28 Februari tahun hadapan.

FAT menyatakan bahawa mereka telah menawarkan kontrak kepada Kiatisuk, namun jurulatih itu memohon untuk penambahan kepada beberapa artikel yang terkandung di dalam kontrak tersebut.

Menurut presiden FAT Somis Poompanmoung seperti dipetik dari laman web rasmi FAT: “Saya telah bercakap dengan Zico (Kiatisuk) mengenai banyak perkara. Daripada kemudahan latihan hingga pemilihan pemain. Saya, selaku presiden persekutuan menyokongnya. Kami mahu berikan kebebasan kepada jurulatih.”

Thailand buang jawatan Pengurus Pasukan

Poompanmoung turut menambah bahawa mereka merancang untuk tidak lagi menggunakan pengurus pasukan. Tindakan ini diambil untuk memudahkan perbincangan bersama Kiatisuk bila diperlukan.

“Tahun lalu kami menggunakan cara tradisional ini untuk pasukan. Kami perlu belajar dari itu kerana ada kelebihan dan kekurangannya. Jika pengurus tahu tugasnya, dia akan bertindak selaku koordinator. Dia tidak sepatutnya mengganggu tugas jurulatih pasukan. Disebabkan semua masalah ini, kami membuat keputusan untuk pasukan tidak lagi mempunyai pengurus,” katanya lagi.

Dia menambah bahawa pasukan akan mula tidak menggunakan pengurus untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Jepun.

“Akan ada koordinator dari persatuan yang akan memantau koordinasi pasukan. Saya mahu membuang semua perkara yang mengganggu operasi pasukan.”

Pasukan kebangsaan Thailand akan menentang Arab Saudi pada 23 Mac bagi kempen kelayakan Piala Dunia Russia 2018 sebelum bertandang ke Jepun pada 28 Mac nanti.

Kiatisuk pastinya kini lega dan boleh meneruskan kerjanya dengan tenang dan mudah tanpa sebarang gangguan setelah selesai isu kontrak ini.

Other posts by