Athletics

#TerbangLatifTerbang: Latif Romly rangkul emas lagi

Latif terbang lagi.

Dalam misi untuk memenangi pingat buat Malaysia di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur tahun ini, pemenang pingat emas acara lompat jauh Sukan Paralimpik di Rio tahun lalu berusaha keras untuk membuktikan dia mampu membantu Malaysia memenangi pingat.

Apa yang dia lakukan?

Atlet Paralimpik negara itu berjaya memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh di Kejohanan Olahraga Perak All Corners di Stadium Perak pada hari Sabtu yang lalu.

Latif menewaskan atlet normal setelah melakukan lompatan sejauh 7.40 meter pada percubaan keenamnya sekaligus menewaskan Lukman Hakim (7.21m) dan Mohd Shahrin Azuan Jamaika (6.93m) yang merangkul pingat perak dan gangsa.

Apa lagi misi Latif Romly?

Menurut anak kelahiran Arau, Perlis itu, kemenangan ini adalah bagi menambah semangatnya bagi beraksi di Kejohanan Terbuka Malaysia bulan depan bagi merebut slot kelayakan beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur nanti.

Selain Terbuka Malaysia dan Sukan SEA, Latif akan beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London pada Julai nanti selain beraksi juga di Sukan Para Asean pada tahun ini.

Latif dah layak ke Sukan SEA belum?

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah menyatakan kemampuan Latif untuk beraksi di Sukan SEA.

Memetik laporan Harian Metro pada 16 September tahun lalu, Khairy menyatakan: “ Sekiranya dia dipilih dan layak (beraksi dalam Sukan SEA), saya tidak ada apa-apa halangan.

Namun lompatan Latif itu masih kurang dari sasarannya untuk memecahkan rekod kebangsaan iaitu 7.88m yang pernah dicipta oleh Josbert Tinus yang direkodkan di Bangkok serta kurang daripada lompatan emasnya di Sukan Paralimpik lalu, iaitu 7.60m.

Jarak kelayakan bagi menyertai Sukan SEA dalam acara lompat jauh adalah sejauh 7.54m. Jika lompatan Latif di Sukan Paralimpik dikira, sudah pastinya anak muda berusia 19 tahun ini sudah layak, tetapi mengambil kira lompatannya dalam acara normal, Latif perlu menunjukkan kembali aksi cemerlangnya di Terbuka Malaysia bagi layak ke Sukan SEA nanti.

Other posts by