Football

#SukanSEA: Indonesia akan panggil 12 pemain luar negara untuk perkuat pasukan remaja

Setiausaha Agung Persatuan Sepakbola Indonesia, Ade Wellington merancang untuk memanggil 12 pemain Indonesia yang bermain di luar negara untuk menjalani latihan pemilihan pasukan kebangsaan pada Mac ini.

Perancangan itu dilakukan sebagai persiapan pasukan Indonesia yang bakal beraksi dalam beberapa kejohanan pada tahun ini, Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur bagi pasukan Bawah 22 tahun mereka dan Piala AFF bagi pasukan bawah 19 tahun.

Menurut Ade, seperti dilaporkan oleh Kompas.com: “Kami telah mengirim jemputan untuk mereka menghadiri pemilihan pasukan kebangsaan. Kebanyakan dari mereka adalah pemain untuk pasukan bawah 19 tahun.”

Siapakah 12 pemain itu?

Kebanyakan dari 12 pemain itu adalah pemain yang akan dipanggil untuk berlatih bersama pasukan Bawah 19 tahun Indonesia di bawah kendalian Indra Sjafri.

Antara pemain yang dipanggil adalah Andri Syahputra yang beraksi bersama Al Gharafa di Qatar. Pemain kelahiran Aceh ini antara pemain yang sering menjaringkan gol ketika beraksi dalam Liga Utama Qatar Bawah 17 tahun.

Selain itu, turut dipanggil adalah Angga Rezky Fitraispan, pemain sayap yang bermain bersama pasukan CD La Union di Sepanyol. Pemain muda ini turut pernah berlatih di akademi Real Madrid (2012) dan Barcelona (2014) dan antara pemain muda yang berdaftar bersama Persekutuan Bolasepak Sepanyol.

Menurut Ade, semua pemain tersebut akan melalui proses pemilihan dahulu sebelum benar-benar terpilih untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

“Kami tidak menghafal nama semua pemain. Apa yang pasti ada lebih kurang lapan pemain Bawah 19 tahun dipanggil. Mereka akan menjalani pemilihan terlebih dahulu sebelum terpilih bermain bersama pasukan kebangsaan secara rasmi.”

Bagaimana pula dengan pasukan Bawah 22 tahun?

Bagi pasukan bawah 22 tahun pula, nama yang sering disebut adalah pemain pasukan muda Ajax, Jong Ajax, iaitu Ezra Walian.

Pemain muda itu yang sering menjadi sebutan peminat bolasepak Indonesia kini masih menunggu masa untuk mendapat kerakyatan Indonesia.

Adakah pemain di liga tempatan tidak akan dipanggil?

Tidak. Jurulatih bawah 19 tahun, Indra Sjafri yang berjaya membawa pasukan Bawah 19 tahun Indonesia menjuarai Piala AFF B19 pada tahun 2013 juga akan mencari pemain tempatan di seluruh daerah di Indonesia.

Bagi jurulatih Bawah 22 tahun dan pasukan senior Indonesia, Luis Milla, dia telah memilih 25 pemain untuk menjalani pemilihan pertama yang akan berlangsung di padang Sekolah Pelita Harapan di Karawaci yang bermula hari ini hingga Jumaat.

Other posts by