Football

Malaysia tetap akan bermain di Pyongyang setakat ini – Setiausaha Agung FAM

Malaysia akan tetap beraksi di Pyongyang bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara pada 28 Mac depan.

Perlawanan tersebut yang akan berlangsung di Stadium Kim Il-sung merupakan perlawanan pertama kedua-dua pasukan dalam Kumpulan B. Selain Malaysia dan Korea Utara, turut berada dalam Kumpulan B adalah Lebanon dan Hong Kong.

Perkara ini diumumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin seperti dipetik dari laporan The Star.

Apa yang berlaku?

Isu ini dibangkitkan ekoran kematian Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di KLIA 2 pada Isnin lalu yang disyaki dibunuh oleh pembunuh upahan. Kematian Kim Jong-nam menyebabkan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang selepas Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol mengkritik cara Malaysia mengendalikan kes tersebut.

Selain itu, Malaysia juga telah memanggil pulang Duta Malaysia di Korea Utara selepas ketegangan berlaku di antara dua negara itu.

Kang Chol telah dipanggil ke Wisma Putra untuk diberi penjelasan mengenai isu ini, namun dia kemudian mengeluarkan kenyataan yang mengutuk keras siasatan PDRM terhadap pembunuhan tersebut.

Apa yang FAM lakukan?

FAM telah berhubung dengan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul berkenaan isu ini.

Menurut Datuk Hamidin seperti dipetik dari The Star: “ Kami akan berbincang dengan AFC dan kedutaan untuk melihat jika ada ancaman keselamatan terhadap pasukan di Pyongyang. Setakat ini semua OK, dan kami akan memberitahu media jika ada perkembangan.”

Kesimpulan

Setakat ini Malaysia akan terus bermain di Pyongyang. Namun, keselamatan pemain dan staff kejurulatihan wajar menjadi keutamaan. Isu ini perlu dilihat dengan teliti dan jika Malaysia akan bermain juga di Pyongyang, kerajaan Korea Utara perlu memberi jaminan terhadap keselamatan pasukan Malaysia di sana. Jika FAM melihat keselamatan pasukan terancam, wajar FAM dan AFC membuat keputusan untuk menukar lokasi perlawanan ke gelanggang neutral. Pemain dan pasukan perlu mampu bermain dalam keadaan tenang tanpa sebarang rasa takut terhadap ancaman mana-mana pihak.

 

 

Other posts by