MMA

Agilan Thani cabar Ben Askren untuk kejuaraan welterweight ONE Championship

Mungkinkah kita akan melihat tali pinggang kejuaraan ONE Championship menjadi milik pejuang dari Malaysia?

Tidak lama selepas menunjukkan aksi cemerlang di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, Agilan Thani terus memburu juara welterweight ONE Championship, Ben Askren untuk mendapat peluang merebut kejuaraan.

Agilan yang terkenal dengan julukan ‘Alligator’ memberitahu pengulas ONE Championship, Mitch Chilson bahawa dia bukan sahaja mahu berlawan dengan juara bertahan itu, tetapi dia juga tidak kisah berlawan secara percuma.

Askren membalas kenyataan Agilan itu menerusi laman Twitternya.

Dalam tempoh 24 jam, sokongan peminat yang mahu menyaksikan perlawanan ini dilangsungkan sangat memberangsangkan. Bahkan ada yang sanggup membuat kutipan supaya perlawanan ini menjadi kenyataan.

Agilan memberitahu laman web The Fight Nation bahawa dia kagum dengan sokongan yang diberikan peminat, namun menyatakan penajanya Tunetalk dan gym Monarchy MMA, mampu memberikan bantuan yang cukup.

“Saya mungkin tidak dapat tidur di hotel yang mahal atau diurut selepas setiap sesi latihan dan makan makanan yang berkualiti, tetapi saya pasti akan bersedia untuk berlawan dan membuat yang terbaik,” katanya di laman Facebooknya.

Askren dijadualkan akan mempertahan kejuaraannya di Manila pada 21 April, namun masih tiada pesaing yang diumumkan.

Pada Jumaat lalu, Agilan Thani mempertahan rekod tanpa kalahnya di ONE: Throne of Tigers selepas dia membuatkan pihak lawannya Jeff Huang menyerah kalah menerusi rear naked choke di pusingan kedua perlawanan welterweight. Agilan kini mempunyai rekod tujuh kemenangan berturut.

Other posts by