Pada 1.30 pagi (waktu Malaysia) ini kita bakal menyaksikan sejarah tercipta.
Seorang anak Malaysia bernama Faiz Subri akan berada di Anugerah Terbaik Bolasepak FIFA bersama pemain-pemain terhebat dunia seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan ramai lagi.
Tidak pernah terfikir di minda bahawa suatu hari nanti seorang pemain Malaysia akan hadir ke majlis yang hebat ini dan bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai salah seorang calon yang sedang merebut salah satu trofi.
Mohd Faiz Subri mencipta kejutan pada 16 Februari 2016 apabila sepakan percumanya melencong masuk menewaskan penjaga gol Pahang Nasril Nourdin.
Sekali lihat, ramai akan tau bahawa jaringan itu bukan satu jaringan biasa. Cara lencongan bola itu persis sepakan percuma Roberto Carlos. Namun, tiada siapa mampu meramal bahawa jaringan itu akan berjaya menjadi calon akhir untuk anugerah Puskas.
Dalam tempoh beberapa hari selepas jaringan menakjubkan itu, peminat bola Malaysia mendesak supaya jaringan tersebut disenaraikan sebagai salah satu calon bagi anugerah Puskas. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasminya menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mencalonkan jaringan tersebut untuk Anugerah Puskas pada 22 Februari 2016.
Setakat hari ini, video jaringan Faiz Subri di laman Youtube FIFA sudah mencapai 2,412,195 tontonan melebihi dua lagi calon Anugerah Puskas Marlone (Brazil) dan Daniuska Rodriguez (Venezuela)
Dan kini ia mara ke peringkat tiga terbaik.
Di saat sejarah bakal tercipta, timbul kontroversi mengenai isu baju Melayu yang ingin dipakai oleh Faiz Subri. Pada mulanya dikhabarkan pemain tengah Pulau Pinang itu tidak dibenarkan memakai baju Melayu kerana majlis tersebut memerlukan tetamunya memakai suit.
Sebelum ini pemain pasukan wanita kebangsaan Jepun, Homare Sawa pernah menaiki pentas selepas memenangi pemain wanita terbaik FIFA dengan memakai kimono, jadi seharusnya tiada masalah untuk Faiz memakai baju Melayu.
Pastinya Faiz akan kelihatan segak dengan memakai Baju Melayu hitam bersama sampin songket dan songkok. Namun, ada juga pihak-pihak yang ingin menaja Faiz dengan memberikan sepersalinan Baju Melayu lengkap bersama keris dan tanjak. Nasihat saya, biarlah ringkas tetapi kemas. Janganlah dibawa keris itu.
Pagi ini rakyat Malaysia akan berjaga dan melihat sejarah bakal tercipta. Dan sudah semestinya jika Faiz menang, kita akan melihat begitu banyak pihak dan penaja akan mendekati Faiz. Kepada bakal penaja-penaja ini, janganlah didekati Faiz saja, tetapi bukalah mata kepada pemain dan pasukan di liga Malaysia ini.
Syarikat tempatan atau syarikat asing yang berpengkalan di Malaysia perlu melihat kejayaan Faiz ini sebagai tanda bahawa bolasepak Malaysia ini penuh kejutan.
Dan kepada rakyat Malaysia yang sebelum ini tidak menggemari bolasepak Malaysia dan lebih berkiblatkan bolasepak antarabangsa, mungkin musim ini anda boleh cuba sekali sekala ke stadium di Malaysia. Siapa tahu anda akan melihat satu lagi sejarah tercipta?
Kepada Faiz Subri, tahniah kerana tercalon dan semoga berjaya mencipta sejarah di bumi Zurich!
Other posts by Khairul Nizam