Football

Pemain kelab Jerman cedera akibat ditembak dalam insiden rompakan

Kelab Jerman, Dynamo Dresden melaporkan bahawa pemain pertahanan mereka Marc Wachs sedang pulih selepas ditembak dalam satu insiden yang mengorbankan seorang ahli keluarganya dan seorang lagi cedera parah.

Wachs menjalani pembedahan kecemasan selepas insiden berkenaan yang berlaku di Wiesbaden, berdekatan Frankfurt, pada pagi Selasa.

Doktor menyatakan bahawa pemain berusia 21 tahun itu berada di dalam keadaan yang baik.

Reuters melaporkan bahawa insiden berkenaan berlaku di sebuah kedai di Wiesbadi dan pihak polis menyatakan seorang wanita berusia 59 tahun terkorban dalam kejadian pada hari Selasa itu di sebuah kedai di mana dia berkerja dan suaminya serta anak buahnya berusia 21 tahun tercedera.

Polis sedang mencari seorang suspek lelaki. Menurut laporan media Jerman, insiden tersebut merupakan satu kejadian rompakan.

Pengarah Sukan Dynamo Ralf Minge berkata: “Kami sangat terkejut mendengar berita ini. Seluruh pasukan Dynamo akan terus menyokong Marc dan keluarganya. Kami akan memberikan sokongan dan bantuan ketika dia memerlukannya.

”Marc , ahli keluarganya serta proses pemulihan, secara fizikal atau mental, adalah keutamaan kami sekarang. Itu yang paling penting.

“Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada Marc, keluarganya dan sanak-saudaranya. Kami secara peribadi memohon semua memberikan ruang kepada Marc dan keluarganya, terutamanya sekarang. ”

Wachs berpindah ke Dynamo yang bermain di Divisyen 2 Jerman dari pasukan simpanan Mainz pada bulan Julai

Wachs yang juga boleh bermain sebagai penyerang telah menjaringkan 30 gol daripada 104 penampilan dalam kerjayanya setakat ini, belum membuat sebarang penampilan untuk Dynamo musim ini namun berada di bangku simpanan untuk beberapa perlawanan.

Dresden kini di tangga ketujuh liga dengan mengutip 27 mata dari 17 perlawanan selepas memenangi Divisyen 3 musim lalu.

Other posts by