Senator Mexico dan bekas pemenang pingat Olimpik Ana Gabriela Guevara mendedahkan bahawa dia dipukul dengan teruk oleh empat orang lelaki selepas motorsikal yang dinaikinya dilanggar oleh kereta milik mereka.
Pemenang pingat perak acara 400 meter di Sukan Olimpik Athens, Guevara, menangis ketika mendedahkan perkara berkenaan dalam satu sidang media, membuka cermin mata hitamnya untuk menunjukkan kesan lebam di matanya yang teruk.
Ahli politik sayap kiri itu menyatakan bahawa serangan itu adalah ‘tindakan pengecut’ dan meminta keganasan di Mexico dihentikan.
“Katakan tidak pada keganasan kepada wanita. Ini tindakan ganas ke atas jantina, ke atas saya,” katanya, sambil ditemani rakan-rakan senatornya.
Guevara,39, berkata dia sedang dalam perjalanan pulang ke Mexico City di lebuh raya pada hari Ahad apabila dia memotong sebuah kereta, yang kemudiannya melanggar motorsikalnya.
Guevara, yang membawa penumpang di atas motorsikalnya, berkata bahawa dia bertikam lidah dengan pemandu berkenaan apabila empat lelaki keluar dari kenderaan berkenaan dan menyerangnya.
“Saya jatuh ke jalan dan mereka berempat mula menendang saya. Satu pukulan mereka mengenai muka saya. Saya memeluk diri saya untuk melindungi diri dari serangan mereka,” katanya.
Kecederaan yang dialaminya sangat teruk sehingga perlu menjalani pembedahan untuk meletakkan besi di sebelah kanan mukanya. Dia juga mengalami keretakan di bahagian dada.
Dia menyiarkan gambar kecederaan di mukanya di akaun Twitter. Wanita yang memboncengnya turut diserang lelaki-lelaki berkenaan, tetapi tidak teruk.
Ahli Senat meminta pihak berkuasa mencari penyerang berkenaan.
“Saya risaukan keselamatan saya,” kata Guevara, menambah bahawa dia akan menyiarkan lebih banyak lagi gambar menunjukkan kecederaan yang dialaminya setiap hari.
Mexico kini sedang bergelut mengawal keganasan ke atas wanita di sebahagian kawasan di negara berkenaa. Satu “amaran jantina” telah dikeluarkan di Mexico, terutamanya di kawasan ibu negara, akibat peningkatan kes pembunuhan yang mensasarkan golongan wanita.
Other posts by Khairul Nizam