Football

Boikot Piala AFF Suzuki bukan penyelesaiannya

Wajar atau tidak kita menarik diri dari Piala AFF Suzuki? Itu persoalan popular buat masa ini. Ada yang menyokong, ada yang tidak. Ada yang kata perlu kerana ianya isu kemanusiaan, ada yang mengatakan sukan tidak perlu dipolitikkan.

Bagi aku, boikot bukan jalan penyelesaiannya. Kenapa? Kerana aku rasa itu satu cara paling mudah dan malas untuk menyuarakan bantahan. Kenapa boikot sekarang selepas telah berlangsung dua perlawanan dan hanya tinggal satu perlawanan lagi? Kenapa gunakan platform AFF dan bukan ASEAN?

Bagi aku, terus bermain di Piala AFF ini merupakan platform terbaik untuk menyuarakan bantahan tetapi bukan dengan cara menarik diri. Menarik diri hanya satu tindakan yang singkat dan akan terhenti setakat itu sahaja.

Bagi aku, lebih baik Malaysia terus berjuang hingga ke final dan sasarkan menang Piala AFF Suzuki selepas itu kita suarakan bantahan. Bukankah lebih baik bersuara sebagai juara berbanding sekadar peserta?

Mungkin ada yang tidak setuju dan mengatakan isu ini sangat besar dan kita tidak boleh bertangguh lagi. Tidak menyokong boikot bukan bermakna aku menutup mata terhadap keganasan dan kegilaan yang berlaku kepada etnik Rohingya di Wilayah Rakhine.

Photo credit: @Twitter
Photo credit: @Twitter

Bagi aku, lebih baik kita gunakan platform media sosial seperti kempen #IngatBolaIngatRohingya yang dianjurkan NGO di Malaysia. Tahukah anda, dalam masa tidak sampai sejam kempen tersebut sudah viral dan menjadi sebutan di media sosial? Bahkan ianya berada di tangga teratas untuk perkara yang trending di Malaysia buat seketika. Bayangkan kalau setiap perlawanan Malaysia (jika kita mara sehingga ke final) kita gunakan hashtag itu, pastinya ia mampu memberi kesedaran kepada lebih ramai peminat bolasepak dan dengan cara yang betul kita mampu menyedarkan seluruh dunia dan seterusnya menekan UN dan ASEAN untuk bertindak.

Photo credit: @Twitter
Photo credit: @Twitter

Politik dan sukan kadang kala tidak dapat dielakkan. Namun, gunakan cara yang tepat kita mampu menyatukan rakyat untuk bersama-sama berjuang. Aku berharap jemaah menteri akan mendengar idea ini dan bersatu menggunakan hashtag #IngatBolaIngatRohingya ini berbanding mengarahkan pasukan menarik diri dan kemudian tiada tindakan susulan.

Ayuh Malaysia, berikan kami kemenangan.

* Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tiada kena mengena dengan mana-mana pihak *

Other posts by