Badminton

V Shem-Wee Kiong mahu akhiri 2016 di kedudukan No.1 dunia

Kebiasaannya kita membuat azam di awal tahun, namun tidak bagi bergu lelaki negara Goh V Shem – Tan Wee Kiong.

Gandingan no.1 negara itu berazam untuk mengakhiri 2016 di kedudukan pertama dunia selepas mendapat kebenaran untuk beraksi di Terbuka China pada 15-20 November dan Terbuka Hong Kong pada 22-27 November.

Semuanya nampak serba tidak menjadi apabila Wee Kiong mengalami kecederaan kaki ketika beraksi di Terbuka Perancis. Namun, dia kini diisytiharkan telah pulih dan mampu beraksi.

Jika mereka berjaya layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir kedua-dua kejohanan tersebut, V Shem – Wee Kiong akan menamatkan 2016 sebagai bergu No.1 dunia buat pertama kali.

Buat masa ini, mereka berada di kedudukan kedua di belakang bergu Korea Selatan Lee Yong-dae – Yoo Yeong-seong.

“Ianya hebat jika kami boleh menang di salah satu kejohanan itu kerana ia akan memberikan kami mata yang cukup untuk mengatasi bergu Korea Selatan itu, namun layak ke separuh akhir kedua-dua kejohanan pun sudah cukup,” ujar V Shem.

Gandingan negara ini hampir bergelar bergu No.1 dunia di Eropah apabila mereka merangkul gelaran Superseries pertama mereka di Terbuka Denmar. Namun, kekalahan dalam pusingan pertama di Terbuka Perancis menghancurkan harapan mereka.

Perjalanan mereka di China juga tidak mudah kerana perlu mengatasi bergu tuan rumah, Zhang Nan-Liu Cheng di perlawanan pertama mereka.

“Kami dah tewaskan mereka di Terbuka Denmark…jadi kami mahu buktikan konsistensi kami dan tewaskan mereka lagi,” kata V Shem.

V Shem-Wee Kiong telah diletakkan sebagai pilihan utama bagi BWF World Superseries yang akan berlangsung di Dubai pada 14-18 Disember.

Other posts by