Penunggang Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menamatkan kedudukan di lima tempat terbaik dalam perlumbaan Moto2 Grand Prix Shell Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada hari Ahad.
Penunggang berusia 22 tahun yang diberi gelaran “pescao” atau ikan dalam bahasa Sepanyol itu memecut untuk merebut tempat kelima walaupun bermula di petak ke-14 sebelum perlumbaan.
Dia mencuba untuk mengejar kelompok pendahulu tetapi digagalkan pleh pelumba Sepanyol Alex Marquez dan pelumba Switzerland, Thomas Luthi.
Hafizh mencatatkan masa 46:15.735 dan melalui garisan penamat diiringi sorakan kuat penyokong Malaysia.
Pelumba muda itu kini berada di tangga kesembilan dalam kedudukan keseluruhan selepas memungut 117 mata dan dia optimis dapat terus berada dalam kedudukan 10 terbaik menjelang pusingan terakhir di Valencia, Sepanyol dua minggu lagi.
“Sasaran peribadi saya dalam perlumbaan di tempat sendiri ini adalah untuk berada di kedudukan lima terbaik,” kata Hafizh.
“Saya mahu bersaing merebut tempat di podium, tetapi ianya sukar untuk berada di depan kerana saya perlu berwaspada dengan Marquez dan Luthi.
”Saya tetapi gembira kerana mendapat mata perlumbaan di tempat sendiri. Terima kasih kerana menyokong, Malaysia!”
Seorang lagi penunggang negara Ramdan Rosli yang mewakili Petronas Raceline Malaysia menamatkan perlumbaan di tempat ke 12 dengan catatan masa 46:22.296.
Penunggang berusia 20 tahun itu memungut empat mata- mata pertamanya dalam kejohanan dunia itu.
“Ini kejohanan dunia dan ianya sukar untuk memungut mata. Saya sangat gembira kerana keadaanya sangat sukar,” kata Ramdan.
Penunggang Moto3 negara Khairul Idham Pawi turut mempamerkan aksi hebat apabila menamatkan perlumbaan untuk memungut mata sejak mencatat kemenangan kedua di Jerman pada bulan Julai.
Penunggang muda itu menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan catatan masa 29:42.857 dan kini berada di tangga ke-17 selepas memungut 62 mata.
Other posts by Khairul Nizam