Football

Sarawak gunakan 80 peratus pemain tempatan musim depan

Tirai Liga Super Malaysia baru sahaja berakhir, tetapi Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) sudah membuat perancangan untuk musim hadapan.

Pasukan bolasepak Sarawak musim hadapan akan menggunakan 80 peratus pemain tempatan, sekaligus mengurangkan bilangan pemain asing dalam skuad bujang senang bagi musim 2017.

Timbalan Presiden FAS Abdul Wahab Rahim berkata keputusan itu diambil untuk memberikan lebih banyak peluang kepada pemain muda tempatan dan berdasarkan penilaian semasa, kebanyakan pemain tempatan musim ini akan dikekalkan.

Namun, dia berkata, kuota pemain asing akan tetap dipenuhi walaupun pasukan mungkin akan meletakkan seorang atau dua dalam kesebelasan utama.

“Mungkin kita akan memenuhi kuota pemain asing apabila pasaran perpindahan dibuka semula di pertengahan musim 207,” katanya.

Sarawak, yang menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, semalam kekal di Liga Super musim hadapan dan berada di kedudukan kelapan dengan 24 mata selepas mencatat enam kemenangan, enam seri dan 10 kekalahan.

Abdul Wahab berkata Sarawak akan meletakkan sasaran yang sederhana musim hadapan.

Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, David Usop, apabila ditemui selepas perlawanan semalam, berkata dia gembira pasukan kendaliannya berjaya kekal di LIga Super musim hadapan.

Dia berkata pasukannya layak menang ke atas PDRM kerana menunjukkan aksi lebih bertenaga selepas berehat sebulan.

Mengenai kedudukannya musim hadapan, Usop, yang mengambil alih tugas dari Robert Alberts di pertengahan musim, berkata dia akan membiarkan barisan kepimpinan baru FAS menentukan nasibnya.

Other posts by