Badminton

Iskandar mahu buktikan kemampuan di Terbuka Denmark

Pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain akan memulakan kempen di Terbuka Denmark dalam kelompok undian utama pada hari Rabu ini.

Iskandar yang akan turut disertai Zulfadli Zulkifli akan memulakan aksi dengan menentang pilihan kelapan Rajiv Ouseph dari England sementara Zulfadli akan beraksi menentang Brice Leverdez dari Perancis.

Pemain berusia 26 tahun itu percaya dia mempunyai peluang untuk mara dalam kejohanan Superseries yang memberikan ganjaran berjumlah US$700,000 ( RM2.9 juta) itu.

“Ini tahun pertama saya bermain lebih dari satu kejohanan Superseries. Saya mahu mengambil langkah demi langkah,” kata Iskandar yang tersingkir awal di Terbuka Malaysia, Indonesia, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

“Saya ada peluang di Denmark tetapi saya tidak mahu terlalu kecewa jika tidak berjaya. Dalam setiap kejohanan, sasaran saya adalah mengejutkan pemain bintang,” kata pemain no. 27 dunia itu.

Untuk bekas juara remaja dunia Zulfadli, dia perlu menewaskan pilihan kelima Chou Tien-chen dari Taiwan.

Turut akan beraksi adalah pemain bebas Chong Wei Feng yang mara ke undian utama selepas menewskan pemain tuan rumah Christian Lind Thomsen 22-20, 21-18 dalam pusingan pertama kelayakan Taman Sukan Odense. Dia kemudiannya menundukkan pemain Norway Marius Mhyre dalam pusingan kedua 15-21, 21-16, 21-6.

Wei Feng akan bertemu wakil India H.S Prannoy dalam pusingan pertama kejohanan ini.

Pemain perseorangan No. 1 dunia Lee Chong Wei turut akan beraksi dalam acara perseorangan ini.

Chong Wei dijangka akan dicabar oleh pemain tuan rumah dan juga pemenang pingat gangsa Olimpik, Viktor Axelsen.

Other posts by