Football

Bengaluru FC mohon sokongan musuh ketat untuk menentang JDT

Kelab India, Bengaluru FC dalam misi mencipta sejarah menjadi kelab dari India pertama mara ke perlawanan akhir Piala AFC apabila mereka akan berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim 19 Oktober ini dalam saingan separuh akhir kedua.

Jaringan dari Eugeneson Lyngdoh berjaya membawa pulang jaringan di tempat lawan untuk Bengaluru dalam perlawanan separuh akhir pertama yang berakhir 1-1 di Larkin.

Namun, apa yang mengecewakan mereka adalah kurangnya penyokong dalam aksi separuh akhir pertama di Malaysia. Oleh sebab itu, Bengaluru FC telah melancarkan kempen di media sosial untuk menarik seramai mungkin penyokong untuk ke Stadium Kanteerava.

Bahkan, demi mendapat sokongan padu, mereka turut merayu bantuan dari pesaing ketat mereka dalam Liga India, Mohun Bagan FC.

Dalam satu surat yang ditulis kepada Mohun Bagan FC, kelab Karnataka itu berkata:

Photo credit: Twitter
Photo credit: Twitter

”Sama seperti usaha kita merebut kejuaraan dalam tempoh tiga tahun ini, mari kita sejujur mungkin. Kita bukanlah rakan karib dan itu tidak akan berubah. ‘Benci’ adalah satu perkataan yang agak keras, jadi kita akan gunakan ‘permusuhan’. Permusuhan inilah yang membuatkan kami terus berusaha. Ia membolehkan kami berusaha untuk mendapatkan tiga mata, dan kadang kala satu mata serta kejayaan. Kami sukakan permusuhan ini. Itu akan kekal. Ia akan sentiasa kekal. ”

“Tapi tanggal 19 Oktober ini, kami mahu berhenti sebentar bermusuhan. Kami sedang dalam misi yang sangat istimewa – tempat di perlawanan akhir Piala AFC. Ia satu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh kelab India. Dan kami mahu bantuan anda untuk ke ‘the Fortress’ dan menyokong kami sebagai satu kelainan. Ianya satu tempat yang sangat istimewa untuk kita berdua.”

“Tidak, kami tidak meminta anda memakai warna biru kami. Warna hijau dan merah anda sudah memadai. Tapi datanglah ke the Fortress. Lupakan permusuhan kita sepanjang tahun ini untuk 90 tahun. Mari kita berganding bahu untuk ini. Untuk permusuhan kita, kita boleh sambung semula pada bulan Januari.”

Ketika ditanya mengenai surat itu, Bengaluru FC memberitahu Firstpost, “ Kami telah nyatakan dari awal bahawa ini bukan mengenai Bengaluru atau Karnataka. Ini mengenai India. Kelab yang kami hubungi sentiasa menerima sokongan dari penyokong mereka apabila bertandang ke Bengaluru dan kami telah fikir dengan teliti untuk menghubungi mereka (Mohun Bagan, East Bengal, Aizawl FC dan Shillong Lajong FC) untuk bolasepak India.

Kejayaan mengikat JDT dalam separuh akhir pertama memberi kelebihan kepada juara Liga India itu dalam misi mencipta sejarah membuat penampilan di perlawanan akhir Piala AFC, kejuaraan kedua terbesar di Benua Asia.

“Ya, ini perlawanan terbesar dalam kerjaya saya,” kata Chhetri kepada Scroll.in. “Ianya kerana kami berpeluang mara ke satu tempat yang tidak pernah dicapai oleh kelab dari India. Saya tidak pernah berada dalam situasi seperti ini. Kami sedang meletakkan negara di peta Asia dan ianya satu perkara penting.”

“Untuk menganggap JDT hanya hebat kerana dua penyerang asing mereka adalah satu kesilapan. Mereka mempunyai kualiti dan saya katakana ini selepas bermain menentang mereka empat kali. Satu-satunya kelebihan yang kami ada adalah jaringan di tempat lawan. Ini 90 minit yang baru dan kita tidak tahu pengakhirannya bagaimana.”

Jika kedua kelab ini bertukar tempat, adakah kita akan melihat penyokong Kelantan, Selangor, Perak atau Felda United menyokong misi JDT?

Other posts by