Athletics

“Beri saya dua tahun untuk pecahkan rekod kebangsaan” – Latif Romly

“Berikan saya dua tahun.”

Itu kata pemenang pingat emas paralimpik acara lompat jauh negara Abdul Latif Romly apabila ditanya jika dia mampu memecahkan rekod kebangsaan lompat jauh lelaki iaitu 7.88m (untuk atlet normal) yang dicipta oleh Josbert Tinus pada tahun 2007.

Anak muda dari Perlis ini yang memecahkan rekod dunia sebanyak tiga kali di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro bulan lalu yakin dia mampu memecahkan rekod tersebut dalam tempoh dua tahun.

Lompatannya di Rio mencatatkan jarak 7.60m hanya kurang 0.28m dari rekod yang dicipta Josbert, tetapi keutamaan Latif adalah untuk menunjukkan aksi cemerlang dalam saingan Sukan SEA dan Sukan Para Asean di Kuala Lumpur tahun depan.

“Saya harap saya mampu menyinar di Sukan SEA dan kemudiannya mengekalkan pingat emas saya di Sukan Para Asean.

”Belum ada sesiapa yang mampu berbuat demikian. Saya teringin beraksi di Sukan SEA. Saya tidak tahu jika lompatan terbaik saya mencukupi untuk menang hari itu nanti, tetapi kalau saya tidak cuba saya tidak akan tahu.

“Saya tahu saya perlu berusaha lebih keras untuk Sukan SEA kerana atlet biasa pasti tidak mahu tewas kepada saya,” kata Latif.

Rekod lompatan Latiff di Sukan Paralimpik lalu lebih baik dari jarak pemenang pingat perak Sukan SEA iaitu 7.55m yang juga merupakan tahap kelayakan yang diletakkan oleh Majlis Olimpik Malaysia.

“Untuk rekod kebangsaan pula, saya tak rasa ianya mustahil untuk pecahkan rekod Josbert.

” Saya telah berusaha keras. Bagi saya dua tahun dan, jika saya berjaya, impian saya sudah tercapai,” tambah Latif, yang berjaya memenangi pingat emas Sukma di Sarawak dengan jarak lompatan 7.46m.

Other posts by