Squash

Nicol mara ke suku akhir Terbuka US

Ratu skuasy negara, Nicol David mempamerkan kebangkitan yang menakjubkan dan mara ke peringkat suku akhir kejohanan skuasy Terbuka US.

Pemain Malaysia itu bangkit selepas tewas dua set pertama kepada naib juara tahun lalu Nour El Tayeb dari Mesir 4-11, 9-11, 11-4, 11-6, 11-7 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Universiti Drexel, Philedelphia pada hari Isnin.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” kata juara tiga kali itu.

“Saya tidak bermain baik dalam set pertama dan separuh set kedua dan dia membuatkan ianya sukar untuk saya. Saya tahu saya perlu berjuang habis-habisan.

” Saya telah berlatih dengan kuat ketika musim panas, sewaktu musim belum bermula, dan saya tidak akan tewas dengan muda. Saya dikerah sepenuhnya dan saya gembira menang 3-2.

“Saya tidak menyerah kalah. Saya tahu saya mahu terus berlawan sehingga ke penghujung dan itu yang saya lakukan,” tambah Nicol, yang tewas di separuh akhir kejohanan tersebut tahun lalu.

Nicol yang masih kemarau kejuaraan tahun ini, akan bertemu seorang lagi pemain Mesir – pilihan kelima Raneem El Welily – untuk merebut tempat ke separuh akhir.

Raneem turut berdepan lawan yang sukar di pusingan kedua apabila pilihan ke-10, Joelle King dari New Zealand memberikan tentangan sebelum Raneem menang 1-11, 11-9, 11-7, 11-8.

Ia akan menjadi satu lagi tugas berat untuk Nicol kerana Raneem pernah menewaskannya dalam straight set di separuh akhir Kejuaraan Dunia yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, Mei lalu.

Nicol merupakan satu-satunya pemain Malaysia yang layak ke suku akhir Terbuka US selepas pemain lelaki No. 1 Malaysia Nafiizwan Adnan tersingkir.

Nafiizwan, yang bermain di pusingan kelayakan, tewas kepada pemain Afrika Selatan Steve Coppinger 7-11,11-5,11-9-4-11, 9-11.

Other posts by