Football

Duo Singapura arah pasukan berwaspada ancaman Darren Lok

Duo Singapura, Baihakki Khaizan dan Shahril Ishak mengarahkan rakan sepasukan mereka berwaspada dengan ancaman rakan sepasukan mereka di Johor Darul Takzim II, Darren Lok, menjelang perlawanan persahabatan mereka di Stadium Nasional Singapura pada Jumaat ini.

Penyerang kelahiran England, Lok, pernah bermain bersama Eastbourne Borough, sebuah kelab semi-pro di Liga South Conference England sebelum JDT membawanya pulang ke Malaysia pada bulan Mei.

Walaupun baru sahaja tiba empat bulan lalu, Lok baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia bulan lalu, dan membuat penampilan pertamanya dari bangku simpanan untuk JDT II dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur bulan lalu.

Walaupun beraksi hanya satu perlawanan kompetitif, Lok telah dipanggil oleh Ong Kim Swee untuk menyertai skuad Harimau Malaysia bagi berdepan Singapura dan Afghanistan empat hari kemudian.

Selepas berlatih bersama penyerang baru Malaysia itu, Shahril dan Baihakki memberi pujian kepadanya dan mahu rakan sepasukan mereka berwaspada.

“Apabila dia (Lok) datang ke JDT, dia seorang yang pendiam kerana baru tiba dari England,” kata Baihakki kepada ESPN FC.

“Tetapi dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di Johor, dan cepat bergaul dengan pemain tempatan.

”Anda boleh lihat semangat dan fizikal membantunya dalam perlawanan, tetapi kualiti sebenarnya masih tidak diketahui kerana dia baru mendapat kerakyatan dan hanya bermain beberapa minit untuk kelab.

“Tetapi dia dilihat lebih sesuai untuk bermain permainan satu sentuhan di mana dia gemar bermain di bahagian sayap. Dia juga hebat menggelecek, dan kami perlu berhati-hati dengan itu.”

Ketua pasukan Singapura juga ingin mengetahui jika rakan sepasukannya itu akan berjaya di peringkat antarabangsa. Namun dia yakin pertahanan Lions mempunyai pengalaman yang cukup untuk mengekang Darren Lok.

Shahril berkata: “ Saya rasa dia seorang pemain berkualiti. Sangat tegap, sangat kuat dan sangat pantas. Namun saya rasa tidak kira siapa penyerang mereka, saya percaya pertahanan kami mampu hadapi.”

Baihakki yang pernah beraksi untuk JDT dan JDT II, percaya anak buah Sundramoorthy mempunyai kelebihan apabila dapat melihat skuad baru yang dibentuk oleh Datuk Ong Kim Swee. Ini akan mempersiap mereka jika kedua-dua pasukan bertemu di saingan kalah mati jika kedua-dua pasukan layak dari kumpulan masing-masing dalam saingan Piala AFF Suzuki.

“Bagus kami bertemu Malaysia sekarang kerana semua pasukan sedang menilai kelemahan dan kekuatan masing-masing,” kata pertahanan tengah itu

“Sebulan lagi (di Piala AFF Suzuki), semuanya akan terbuka apabila semua pasukan bersiap sedia untuk bersaing

”Jadi, ianya bagus untuk pemain Singapura bukan hanya kerana dapat berdepan dia (Lok), tetapi juga pasukan Malaysia kerana kami mungkin akan bertemu mereka di Piala AFF Suzuki nanti.”

Other posts by